Tuesday, July 21, 2009

Memberi dan Memberikan Pemberian

Orang berbudi kita berbahasa,
orang memberi kita merasa.

Salah satu atur cara yang lazim pada majlis perpisahan ialah penyampaian cenderamata, (ada yang menyebutnya sebagai cenderahati – isu ini akan dibincangkan pada satu masa nanti). Tidak kira apakah cenderamata yang diberikan atau berapa nilai cenderamata itu, yang penting ialah keikhlasan.

Begitulah pengisian atur cara majlis meraikan kenaikan pangkat dan perpisahan tiga orang teman seperjuangan (yang telah bersama-sama memberikan dedekasi sepenuhnya kepada kejayaan dan kecemerlangan alma mater V3 'kudatang, kulihat, kutawan') Tahniah!

Walau bagaimanapun, artikel kali tidak akan membincangkan perjalanan majlis tersebut, tetapi persoalan tatabahasa yang sering ditanyakan oleh pelajar iaitu penggunaan kata memberi atau memberikan; sama ada memberi hadiah atau memberikan hadiah, memberi cenderamata atau memberikan cenderamata. Begitu juga dengan frasa; memberi nasihat atau memberikan nasihat.

Kita lazim mendengar atau membaca ayat-ayat yang menggunaakan kata memberi dan memberikan yang tidak tepat penggunaannya, namun seperti biasa kita selalunya bersikap tidak ambil kisah, mungkin kerana kita tidak tahu pasti sama ada ayat tersebut betul atau salah, atau kita sudah biasa menganggapnya betul (walaupun ayat itu salah).

Terdapat tiga persamaan antara memberi dan memberikan. Yang pertama, dari segi binaannya, kedua-dua perkataan iaitu memberi dan memberikan ialah kata terbitan yang berasal daripada kata dasar beri yang menerima awalan mem-... dan apitan mem-...-kan. Yang kedua, dari segi golongannya pula, kedua-duanya ialah kata kerja transitif yang mesti diikuti oleh objek yang terdiri daripada frasa nama. Yang akhir, iaitu yang ketiga, dari segi objek yang mengikutinya, kedua-duanya boleh diikuti dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi.

Masalah yang timbul ialah yang melibatkan penggunaan kata memberi dan memberikan yang diikuti oleh dua objek. Ayat-ayat berikut sekali imbas tiada kesalahan tetapi sebenarnya salah:
a. Ketua pengawas memberi cenderamata kepada guru itu.
b. Pengarah memberi sijil penghargaan kepada pegawai syarikat itu.
c. Kakak memberikan saya buku itu.
d. Pengetua memberikan kami pujian.

Dalam ayat-ayat di atas, perkataan yang berwarna hijau iaitu perkataan yang hadir selepas kata kerja ialah objek tepat, manakala perkataan yang bercetak tebal ialah objek sipi iaitu objek yang hadir selepas objek tepat.

Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 170 membezakan maksud memberi dan memberikan. Memberi bermaksud; menyampaikan (sesuatu) kepada seseorang, manakala memberikan pula bermaksud menyerahkan sesuatu kepada.

Berdasarkan perbezaan maksud tersebut, untuk memudahkan pelajar memahami penggunaan memberi dan memberikan, dikemukakan empat kaedah yang dapat membezakannya :

1. Memberi dikuti oleh objek yang bernyawa (kata nama atau kata ganti nama diri). Ayat-ayat (a-d) di atas boleh menggunakan memberi dengan diikuti objek bernyawa sebagai objek tepat, dikuti objek tidak bernyawa sebagai objek sipi. Sebagi contoh:
a i. Ketua pengawas memberi guru itu cenderamata.
b i. Pengarah memberi pegawai syarikat itu sijil penghargaan.
c i. Kakak memberi saya buku itu.
d i. Pengetua memberi kami pujian.

2. Memberikan diikuti objek yang tidak bernyawa. Ayat-ayat (a-d) boleh menggunakan memberikan dengan diikuti objek tidak bernyawa sebagai objek tepat, diikuti kata sendi nama kepada atau untuk dan kata nama atau kata ganti nama diri sebagai objek sipi. Sebagai contoh:
a ii. Ketua pengawas memberikan cenderamata kepada guru itu.
b ii. Pengarah memberikan sijil penghargaan kepada pegawai syarikat itu.
c ii. Kakak memberika buku itu kepada saya.
d ii. Pengetua memberikan pujian kepada kami.

3. Huraian 1 dan 2 di atas, dapat dipindahkan kepada binaan yang berikut:
… memberi + [ siapa ] + [apa yang diberi]
…. memberikan +[apa yang diberi] + kepada +[siapa]

4. Imbuhan mem-... dalam memberi dan memberikan boleh ditukar dengan imbuhan di-... dan di-...-kan menjadi diberi dan diberikan dan digunakan dalam ayat pasif. Sebagaimana yang telah dibincangkan, memberi dan memberikan ialah kata kerja transitif yang mesti diikuti terus oleh objek. Hanya kata kerja transitif sahaja yang boleh dipasifkan, manakala kata kerja tak transitif tidak boleh dipasifkan.

Dalam pembentukan ayat pasif, hanya objek tepat yang terdiri daripada objek bernyawa boleh berubah kedudukan dan fungsinya iaitu menjadi subjek yang baharu dalam ayat pasif. Contohnya:
a iii. Guru itu diberi cenderamata oleh ketua pengawas .
b iii. Pegawai syarikat itu diberi sijil penghargaan oleh pengarah.
c iii. Saya diberi buku itu oleh kakak.
d iii. Kami diberi pujian oleh pengetua.

Sebaliknya, ayat-ayat yang mengedepankan objek tepat yang terdiri daripada objek yang tidak bernyawa menjadi subjek yang baharu dalam ayat pasif dianggap tidak gramatis. Sebagai contoh:
a iv. Cenderamata diberikan oleh ketua pengawas kepada guru itu
b iv. Sijil penghargaan diberikan oleh pengarah kepada pegawai syarikat itu.
c iv. Buku itu diberikan oleh kakak kepada saya
d iv. Pujian diberikan oleh pengetua kepada kami.

Catatan
Diharapkan huraian yang dikemukakan di atas dapat memberikan panduan kepada pembaca untuk menentukan penggunaan memberi dan memberikan dengan betul.

No comments:

Post a Comment