Sunday, September 27, 2009

Membaca Jambatan Ilmu 2

Dalam arus kemajuan dan perkembangan era teknologi maklumat (TM), dunia buku dan budaya membaca kian terpinggir. Masyarakat hari ini mempunyai cara yang lebih mudah, selain membaca buku untuk mendapatkan maklumat, antaranya melalui internet, e-mel, CD-ROM, dan sebagainya. Perkembangan ini juga menukar budaya membaca di perpustakaan dengan tersedianya kemudahan komputer dan internet. Pengunjung perpustakaan lebih berminat untuk “berkomunikasi” dengan komputer melalui internet berbanding dengan mencari buku buku sebagaimana sebelumnya.
Lebih menyedihkan lagi, pengiktirafan pihak berwewenang dengan mewartakan “bulan membaca” seakan-akan tidak diterima pakai lagi oleh masyarakat hari ini, khususnya golongan remaja dan belia. Perubahan sikap dan kesan kemajuan sistem maklumat memaksa pihak berkenaan menyeru dan berkempen untuk menarik masyarakat supaya mencintai dan menjadikan budaya membaca sebagai amalan harian. Dalam zaman perubahan, pengusaha industri buku “terpaksa” memikirkan cara mereka menghasilkan buku dan menjualnya. Perubahan ini mungkin memaksa penerbit-penerbit buku memindahkan kandungan buku ke dalam bentuk CD dan CD-ROM. Sudah pasti bentuk tersebut lebih mendapat perhatian masyarakat pencari maklumat berbanding dengan buku-buku yang dicetak di atas kertas.

Pada umumnya, budaya buku bukanlah suatu yang wujud sejak manusia bermula. Kemajuan percetakan buku adalah budaya baharu yang hanya bermula kira-kira 150 tahun lalu yang melahirkan sistem persekolahan moden di Eropah. Jelas, setiap yang baharu akan berakhir. Budaya buku mungkin sudah pada penghujung zamannya dengan kemunculan budaya teknologi maklumat yang telah meresap hampir ke setiap ruang kehidupan moden hari ini.

Membaca di mana-mana sahaja

Sesungguhnya masyarakat hari ini berada dalam zaman peralihan dalam cara menerima dan menyebarkan maklumat. Maklumat yang sekian lama disebarkan dan digarap secara bercetak dalam bentuk buku kini mula diambil alih oleh internet dan peralatan teknologi elektronik yang semakin canggih. Persoalan mungkin timbul, mampukah kemajuan teknologi maklumat (TM) dan cara penyebaran maklumat bentuk baharu ini mengubah, membentuk, dan membudayakan masyarakat yang sebenarnya tidak berminat untuk membaca, atau menjadi pengguna kemudahan TM yang akrab? Kalaulah budaya mendapatkan maklumat dan pengetahuan dengan penggunaan TM meresapi jiwa setiap lapisan masyarakat, masyarakat Malaysia pasti akan menjadi bangsa yang termaju di dunia.

Sebenarnya sikap masyarakat negara ini yang kurang berminat terhadap kebiasaan membaca atau mencari maklumat merupakan salah satu kelemahan sistem pendidikan di negara kita. Melalui sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, pelajar diajar secara langsung tentang aspek menulis, membaca, mengira, menghafal, atau mengingat apa-apa yang telah dibaca untuk dikemukakan semula sewaktu peperiksaan.

Hasilnya, para pelajar hanya membaca dan menghafal fakta-fakta penting untuk lulus dalam peperiksaan. Lazimnya, pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan akan diiktiraf sebagai pelajar cemerlang. Namun, yang nyata pelajar yang diiktiraf sebagai cemerlang itu belum tentu akan menjadi manusia yang mengamalkan budaya membaca sebagai rutin kehidupan. Mereka hanya rajin menghafal buku-buku pelajaran dan bukannya menjadi manusia yang dahagakan ilmu dan mencari maklumat tambahan melalui pembacaan daripada pelbagai media.

Hakikatnya, sistem peperiksaan yang berorientasikan peperiksaan telah menyumbang ke arah melahirkan manusia cemerlang yang tidak berminat membaca. Walau secanggih mana sekalipun sistem dan media maklumat dalam era TM, usaha untuk melahirkan masyarakat pencari maklumat yang tulen pasti akan menemui jalan buntu. Hal ini kerana mereka lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan pelajaran sahaja sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Oleh sebab itu, sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan sahaja perlu difikirkan semula dengan membantu negara menghasilkan masyarakat yang bermaklumat, iaitu masyarakat yang terus berminat untuk belajar, membaca, mencari ilmu , dan meneroka maklumat baharu. Sewajarnya masyarakat berusaha mencungkil pelbagai maklumat selaras dengan kemajuan era teknologi maklumat hari ini. Sistem persekolahan yang mampu mengembangkan bakat dan minat pelajar akan menghasilkan pelajar dan masyarakat yang mengamalkan budaya membaca sama ada daripada bahan buku atau media elektronik.

Catatan:
Dua rencana berikut iaitu; Membaca Jambatan Ilmu 1 dan Membaca Jambatan Ilmu 2 disiarkan untuk menjadi renungan tentang kepentingan membaca.

Membaca Jambatan Ilmu 1

Membaca merupakan aktiviti yang amat berfaedah. Amalan membaca amat penting bagi kita semua kerana dengan membaca akan dapat melahirkan generasi yang berfikiran kritis dan matang. Budaya membaca wajar dipupuk dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kini. Budaya membaca bukan sahaja dapat membina generasi yang kritis malah pembudayaan amalan itu akan dapat mempercepat usaha untuk membentuk negara kita agar lebih maju dan pesat membangun seperti negara Jepun dan Korea Selatan. Hasil daripada membaca sesuatu makalah mampu memberikan pengalaman yang baru yang dapat diaplikasikan dalam urusan harian yang tertentu.

Untuk memenuhi hasrat mewujudkan masyarakat yang gemar membaca, banyak perpustakaan awam dibina. Selain itu, kerajaan mengisytiharkan bulan Julai sebagai Bulan Membaca peringkat kebangsaan. Tindakan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri kita yang mahukan rakyat membaca supaya kita dapat melahirkan masyarakat yang serba tahu. Di samping itu, amalan membaca membolehkan kita membuat refleksi tentang kelemahan diri kita sendiri kerana kita akan dapat memahami perkara-perkara yang tidak diketahui selama ini! Pengetahuan am sama ada isu semasa ataupun sejarah dapat menaikkan motivasi diri sehingga mewujudkan daya saing yang sihat.

Menurut Frank Tibolt, penulis buku Sentuhan Kejayaan, dengan membaca kita dapat berubah menjadi manusia yang lengkap. Kata-kata Mohd. Atiq, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2003 bahawa membaca itu keperluan hidup jelas membuktikan bahawa budaya membaca mesti diamalkan setiap masa. Dalam hal ini, galakan yang diberikan kepada pihak sekolah untuk menubuhkan kelab bacaan patut dipuji. Usaha mengadakan majlis pelancaran buku baru juga merupakan pendekatan proaktif yang boleh mendorong lebih ramai anggota masyarakat untuk mencintai buku.

Sebenarnya, masyarakat negara ini belum boleh dianggap sebagai masyarakat pembaca. Kita perlu melakukan anjakan paradigma seiring dengan kemajuan dunia pada hari ini. Jika ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu, mungkin pada suatu hari nanti kita pun akan berubah dan menjadi seperti masyarakat Barat dan Asia Timur yang memperoleh keseronokan daripada membaca. Kita harus terus membaca kerana jika kita sentiasa menangguhkan tindakan, akhirnya kita tidak akan dapat menghabiskan walau sebuah buku pun dalam setahun. Kita berharap juga agar masyarakat tidak terlalu cenderung untuk membeli majalah hiburan dan cerita fiksyen semata-mata supaya kita dapat membebaskan diri daripada belenggu bahan picisan seumpamanya. Oleh itu, eloklah kita cuba meninjau bahan bacaan lain yang banyak mengandungi maklumat yang dapat dimanfaatkan.

Tuesday, September 8, 2009

Untuk dan bagi

Untuk dan bagi ialah kata sendi nama yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi yang tertentu. Kata sendi untuk dan bagi boleh bervariasi atau bertukar ganti jika digunakan di hadapan frasa nama atau kata nama yang berfungsi untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. Contohnya;

Sebuah dewan untuk kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.
Sebuah dewan bagi kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.

Aktiviti untuk peningkatan akademik tahun hadapan telah siap disusun.
Aktiviti bagi peningkatan akademik tahun hadapan telah siap disusun.

Peralatan itu ditempah untuk pengajaran dan pembelajaran.
Peralatan itu ditempah bagi pengajaran dan pembelajaran.

Untuk mengatasi masalah tersebut, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan.

Sebaliknya, kata untuk dan bagi tidak boleh bertukar ganti apabila digunakan untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Contohnya;

Bagi siapakah hadiah ini. (X)
Untuk siapakah hadiah ini. (/)

Hadiah ini bagimu. (X)
Hadiah ini untukmu. (/)

Jam tangan ini bagi Fahmi. (X)
Jam tangan ini untuk Fahmi. (/)

Bagi siapakah kiriman itu? (X)
Untuk siapakah kiriman itu? (/)

Berdasarkan huraian di atas jelaslah bahawa penggunaan untuk dan bagi hanya dapat dibezakan jika penggunaanya bermaksud sesuatu yang telah ditentukan atau ditetapkan untuk seseorang.

Jam tangan ini untuk Fahmi.

Sunday, August 23, 2009

Mengenal Akronim

Akronim ialah kata tunggal yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata dan ditulis serta dilafazkan seperti kata yang wajar. Akronim ditulis dengan tiga cara (bergantung pada cara pembentukannya).

1. Gabungan huruf awal rangkai kata nama khas yang disingkatkan, ditulis dengan huruf besar keseluruhannya. Contohnya:
ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia)
IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia)

2. Gabungan huruf awal/suku kata pertama bagi rangkai kata nama am, ditulis dengan huruf kecil keseluruhannya. Contohnya:
tabika (taman bimbingan kanak-kanak)
kugiran(kumpulan gitar rancak)
cerpen (cerita pendek)
pawagam (panggung wayang gambar)

3. Gabungan huruf awal dan/ atau suku kata pertama bagi nama khas , ditulis dengan huruf kecil kecuali huruf yang pertama huruf besar. Contohnya:
Bernama (Berita Nasional Malaysia)
Intan (Institut Tadbiran Awam Negara)
Mara (Majlis Amanah Rakyat)
Petronas (Petroleum Nasional)



MAS -akronim tetapi dalam bahasa Inggeris

Bagaimana pula dengan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), RTM (Radio Televisyen Malaysia), KTM (Keretapi Tanah Melayu)? Adakah ketiga-tiganya juga akronim. Ketiga-tiganya bukan akronm tetapi singkatan. Lazimnya apabila dilafazkan, akronim dapat disebut dengan bunyi yang tertentu tetapi singkatan seperti ATM, RTM, KTM, dan lain-lain tidak dapat dibunyikan.

Sunday, August 16, 2009

Mengenali Kata Adjektif

Suria pagi memancarkan sinarnya menerangi
alam agar penghuninya sentiasa ceria

Dalam keterangan gambar di atas terdapat satu patah kata adjektif. Kata adjektif ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Kata adjektif dapat dikenal pasti dan dibezakan daripada kata nama atau kata kerja dengan cirinya yang boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat, seperti; sangat, amat, paling, sungguh, kian, dan lain-lain. Kata adjektif menceritakan sifat kata nama dan kata kerja.

Kata adjektif dalam Bahasa Melayu dibahagikan kepada sembilan jenis berdasarkan kriteria makna.

Kata Adjektif Keadaan
memberi makna keadaan kata nama yang diterangkan. Contoh : buku tebal, budak pintar

Kata Adjektif Warna
membawa makna warna untuk menerangkan kata nama. Contoh : baju kuning, bibir merah.

Kata Adjektif Ukuran
menyatakan ukuran kata nama. Contoh : rumah panjang, pembaris pendek

Kata Adjektif Bentuk
menerangkan mengenai bentuk kata nama. Contoh : jalan lurus, mata bulat

Kata Adjektif Jarak
menerangkan kata nama dari segi ruang. Contoh : bilik sempit, kawan jauh.

Kata Adjektif Waktu
memberi penjelasan konsep masa sebagai unsur keterangan. Contoh : makanan segera, kereta baharu

Kata Adjektif Cara
membawa makna keadaan kelakuan atau ragam untuk menerangkan kata nama. Contoh : berjalan perlahan, hujan lebat

Kata Adjektif Perasaan.
memberi pengertian kepada konsep perasaan yang terkandung dalam sesuatu kata nama. Contoh : rindu akan, sangat benci

Kata Adjektif Pancaindera
terdiri daripada yang memberi makna rasa, pandang, dengar, bau dan sentuh. Contoh :
makanan lazat (konsep rasa)
lelaki kacak (konsep pandang)
suara merdu (konsep dengar)
minyak wangi (konsep bau)
kulit licin (konsep sentuh)

Cara mengenal pasti kata adjektif :
Kata adjektif boleh berganding dengan kata penguat seperti; amat, sungguh, kian, nian, dan paling, atau diberi imbuhan ‘ter’ dan ‘se’.sama ada diletakkan di hadapan kata adjektif atau di akhirnya.

Contoh: amat panjang, paling istimewa, sungguh riang, pantas sekali, termahal, selembut

Tuesday, August 4, 2009

Sehubungan dengan itu ....


Floria'09 Putrajaya

Foto di atas mungkin tidak tidak ada hubungan secara langsung dengan persoalan tatabahasa yang dibincangkan pada kali ini. Foto yang dipaparkan ini hanya sebahagian daripada ratusan foto yang sempat penulis rakamkan sewaktu berkunjung ke Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria '09) di pesisiran tasik Presint 2 Putrajaya pada 1 Ogos yang lalu. Walaupun penulis bukanlah penggemar bunga yang tegar, namun kekaguman terhadap pelbagai spesies bunga, dengan pelbagai warna yang dipamerkan dan secara tidak langsung telah menukar lanskap di kawasan situ menjadi sebuah kota kembang yang berwarna-warni, menjadi pilihan kepada penulis untuk mengaitkannya bagi membincangkan ungkapan yang berikut;

sehubungan dengan hal itu,
sehubungan dengan itu,
sehubungan itu,

Antara ungkapan di atas, ungkapan yang manakah yang dianggap menepati sistem bahasa Melayu? Ketiga-tiganya seolah-olah tiada kesalahan, justeru dianggap betul semuanya. Walau bagaimanapun, ungkapan sehubungan itu dianggap tidak gramatis kerana dari segi makna, sehubungan itu bermaksud sama hubungan itu. Ungkapan ini tidak gramatis kerana tidak mempunyai kata sendi nama dengan sebagai unsur yang menentukan wujudnya perbandingan. Ungkapan yang betul ialah sama hubungan dengan itu atau sehubungan dengan itu, kerana awalan se-... membawa maksud 'sama' Kata ganti nama tunjuk itu pula berfungsi sebagai penanda kata nama yang boleh digugurkan. Oleh itu, ungkapan sehubungan dengan hal itu juga boleh digunakan.

Saturday, August 1, 2009

Setengah Orang, Setengah Bukan Orang

Kata bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung benda, misalnya satu, dua, dan seterusnya, beberapa, semua, dan sebagainya. Banyak kesalahan penggunaan kata bilangan yang dapat kita temukan dalam pelbagai bentuk penulisan kerana penutur atau penulis tidak memahami penggunaannya yang betul.

Kata bilangan tak tentu setengah-setengah, kata bilangan pisahan tiap-tiap, dan kata bilangan himpunan kedua-dua, dan sebagainya tidak boleh disingkatkan sewenang-wenangnya. Contoh kesalahan penggunaan kata bilangan yang disingkatkan;

Setengah orang tidak suka akan durian. (X)
Setengah-setengah orang tidak suka akan durian. (/)
Sesetengah orang tidak suka akan durian. (/)

Catatan:
Kata bilangan setengah orang membawa maksud bahawa separuh badan manusia manakala separuh badan lagi bukan manusia antaranya ialah ikan duyung seperti foto berikut.

ikan duyung (setengah orang, setengah bukan orang)


Oleh itu, para pembaca diharap lebih berhati-hati apabila menggunakan kata bilangan setengah dan diikuti dengan kata nama yang merujuk kepada manusia kerana dibimbangi akan membawa maksud sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

Tiap pelajar harus mematuhi peraturan sekolah. (X)
Tiap-tiap pelajar harus mematuhi peraturan sekolah. (/)

Kedua orang itu rakannya. (X)
Kedua-dua orang itu rakannya. (/)

Catatan:
Kedua menunjukkan kedudukan

Berbagai rancangan diatur untuk menyambut kepulanngannya. (X)
Berbagai-bagai rancangan diatur untuk menyambut kepulangannya.(/)
Pelbagai rancangan diatur untuk menyambut kepulangannya. (/)

Catatan:
Berbagai bermaksud berbanding

Kata bilangan tak tentu para pula tidak boleh diulang menjadi para-para. Contoh kesalahan dan pembetulan yang berikut:
Para-para penerima anugerah sedang berbaris.(X)
Para penerima anugerah sedang berbaris. (/)

Catatan:
Para-para bermaksud rak tempat meletakkan barang.

Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga, dan seterusnya tidak boleh didekatkan sekali gus dengan kata bilangan pecahan. Lihatlah contoh kesalahan dan pembetulan yang berikut:
Sudah tiga setengah jam dia menunggu. (X)
Sudah tiga jam suku dia menunggu. (/)

Harga pen itu tiga setengah ringgit. (X)
Harga pen itu tiga ringgit setengah. (/)

Kesimpulannya, kata bilangan perlu di gunakan dengan cara yang betul supaya tepat maksudnya dan tidak tidak membawa maksud yang lain.