Wednesday, September 30, 2009

Antara dan Di antara

1. Rumah Salahuddin terletak antara dua buah kondominium di ibu kota.


2. Di antara kondominium mewah di ibu kota ialah Kondominium Atiria.

Penggunaan antara dan di antara dalam kedua-dua ayat di atas adalah salah. Kata antara dapat berfungsi sebagai kata sendi nama dan kata arah.

Sebagai kata arah, antara digunakan di belakang kata sendi nama di membentuk di antara, yang menunjukkan tempat atau kedudukan fizikal yang mempunyai jarak. Contohnya;
1. Pejabat ayahnya terletak di antara sebuah bank dan pasar raya.
2. Di antara kedua-dua buah kereta itu terdapat sebuah motosikal.

Sebagai kata sendi nama, antara hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian “lingkungan yang tidak mempunyai jarak.” Selain itu, kata antara sebagai kata sendi nama boleh digunakan dalam ayat yang menunjukkan unsur perbandingan. Dalam hal ini, kata sendi nama yang berpasangan dengan antara ialah “dengan”. Contohnya;
1. Saya tidak dapat membuat keputusan jika diminta memilih antara bulan dengan bintang.
2. Pertelingkahan antara abang dengan kakaknya tidak berpanjangan.
Kata sendi nama antara juga boleh berpasangan dengan hingga bagi menunjukkan masa atau lingkungan yang idak menunjukkan jarak. Contohnya;
1. Pertunjukan itu dibuka kepada orang ramai antara pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam.
2. Diskaun antara 20 peratus hingga 25 peratus ditawarkan kepada pembeli rumah yang
berminat.

Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang jelas antara kata sendi nama antara dengan kata arah di antara, sama ada dari segi golongan kata mahupun penggunaanya. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa yang peka kepada perbezaan tersebut, sewajarnyalah kita memastikan penggunaan kata yang tepat antara kedua-dua perkataan.

Sunday, September 27, 2009

Membaca Jambatan Ilmu 2

Dalam arus kemajuan dan perkembangan era teknologi maklumat (TM), dunia buku dan budaya membaca kian terpinggir. Masyarakat hari ini mempunyai cara yang lebih mudah, selain membaca buku untuk mendapatkan maklumat, antaranya melalui internet, e-mel, CD-ROM, dan sebagainya. Perkembangan ini juga menukar budaya membaca di perpustakaan dengan tersedianya kemudahan komputer dan internet. Pengunjung perpustakaan lebih berminat untuk “berkomunikasi” dengan komputer melalui internet berbanding dengan mencari buku buku sebagaimana sebelumnya.
Lebih menyedihkan lagi, pengiktirafan pihak berwewenang dengan mewartakan “bulan membaca” seakan-akan tidak diterima pakai lagi oleh masyarakat hari ini, khususnya golongan remaja dan belia. Perubahan sikap dan kesan kemajuan sistem maklumat memaksa pihak berkenaan menyeru dan berkempen untuk menarik masyarakat supaya mencintai dan menjadikan budaya membaca sebagai amalan harian. Dalam zaman perubahan, pengusaha industri buku “terpaksa” memikirkan cara mereka menghasilkan buku dan menjualnya. Perubahan ini mungkin memaksa penerbit-penerbit buku memindahkan kandungan buku ke dalam bentuk CD dan CD-ROM. Sudah pasti bentuk tersebut lebih mendapat perhatian masyarakat pencari maklumat berbanding dengan buku-buku yang dicetak di atas kertas.

Pada umumnya, budaya buku bukanlah suatu yang wujud sejak manusia bermula. Kemajuan percetakan buku adalah budaya baharu yang hanya bermula kira-kira 150 tahun lalu yang melahirkan sistem persekolahan moden di Eropah. Jelas, setiap yang baharu akan berakhir. Budaya buku mungkin sudah pada penghujung zamannya dengan kemunculan budaya teknologi maklumat yang telah meresap hampir ke setiap ruang kehidupan moden hari ini.

Membaca di mana-mana sahaja

Sesungguhnya masyarakat hari ini berada dalam zaman peralihan dalam cara menerima dan menyebarkan maklumat. Maklumat yang sekian lama disebarkan dan digarap secara bercetak dalam bentuk buku kini mula diambil alih oleh internet dan peralatan teknologi elektronik yang semakin canggih. Persoalan mungkin timbul, mampukah kemajuan teknologi maklumat (TM) dan cara penyebaran maklumat bentuk baharu ini mengubah, membentuk, dan membudayakan masyarakat yang sebenarnya tidak berminat untuk membaca, atau menjadi pengguna kemudahan TM yang akrab? Kalaulah budaya mendapatkan maklumat dan pengetahuan dengan penggunaan TM meresapi jiwa setiap lapisan masyarakat, masyarakat Malaysia pasti akan menjadi bangsa yang termaju di dunia.

Sebenarnya sikap masyarakat negara ini yang kurang berminat terhadap kebiasaan membaca atau mencari maklumat merupakan salah satu kelemahan sistem pendidikan di negara kita. Melalui sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, pelajar diajar secara langsung tentang aspek menulis, membaca, mengira, menghafal, atau mengingat apa-apa yang telah dibaca untuk dikemukakan semula sewaktu peperiksaan.

Hasilnya, para pelajar hanya membaca dan menghafal fakta-fakta penting untuk lulus dalam peperiksaan. Lazimnya, pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan akan diiktiraf sebagai pelajar cemerlang. Namun, yang nyata pelajar yang diiktiraf sebagai cemerlang itu belum tentu akan menjadi manusia yang mengamalkan budaya membaca sebagai rutin kehidupan. Mereka hanya rajin menghafal buku-buku pelajaran dan bukannya menjadi manusia yang dahagakan ilmu dan mencari maklumat tambahan melalui pembacaan daripada pelbagai media.

Hakikatnya, sistem peperiksaan yang berorientasikan peperiksaan telah menyumbang ke arah melahirkan manusia cemerlang yang tidak berminat membaca. Walau secanggih mana sekalipun sistem dan media maklumat dalam era TM, usaha untuk melahirkan masyarakat pencari maklumat yang tulen pasti akan menemui jalan buntu. Hal ini kerana mereka lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan pelajaran sahaja sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Oleh sebab itu, sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan sahaja perlu difikirkan semula dengan membantu negara menghasilkan masyarakat yang bermaklumat, iaitu masyarakat yang terus berminat untuk belajar, membaca, mencari ilmu , dan meneroka maklumat baharu. Sewajarnya masyarakat berusaha mencungkil pelbagai maklumat selaras dengan kemajuan era teknologi maklumat hari ini. Sistem persekolahan yang mampu mengembangkan bakat dan minat pelajar akan menghasilkan pelajar dan masyarakat yang mengamalkan budaya membaca sama ada daripada bahan buku atau media elektronik.

Catatan:
Dua rencana berikut iaitu; Membaca Jambatan Ilmu 1 dan Membaca Jambatan Ilmu 2 disiarkan untuk menjadi renungan tentang kepentingan membaca.

Membaca Jambatan Ilmu 1

Membaca merupakan aktiviti yang amat berfaedah. Amalan membaca amat penting bagi kita semua kerana dengan membaca akan dapat melahirkan generasi yang berfikiran kritis dan matang. Budaya membaca wajar dipupuk dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kini. Budaya membaca bukan sahaja dapat membina generasi yang kritis malah pembudayaan amalan itu akan dapat mempercepat usaha untuk membentuk negara kita agar lebih maju dan pesat membangun seperti negara Jepun dan Korea Selatan. Hasil daripada membaca sesuatu makalah mampu memberikan pengalaman yang baru yang dapat diaplikasikan dalam urusan harian yang tertentu.

Untuk memenuhi hasrat mewujudkan masyarakat yang gemar membaca, banyak perpustakaan awam dibina. Selain itu, kerajaan mengisytiharkan bulan Julai sebagai Bulan Membaca peringkat kebangsaan. Tindakan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri kita yang mahukan rakyat membaca supaya kita dapat melahirkan masyarakat yang serba tahu. Di samping itu, amalan membaca membolehkan kita membuat refleksi tentang kelemahan diri kita sendiri kerana kita akan dapat memahami perkara-perkara yang tidak diketahui selama ini! Pengetahuan am sama ada isu semasa ataupun sejarah dapat menaikkan motivasi diri sehingga mewujudkan daya saing yang sihat.

Menurut Frank Tibolt, penulis buku Sentuhan Kejayaan, dengan membaca kita dapat berubah menjadi manusia yang lengkap. Kata-kata Mohd. Atiq, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2003 bahawa membaca itu keperluan hidup jelas membuktikan bahawa budaya membaca mesti diamalkan setiap masa. Dalam hal ini, galakan yang diberikan kepada pihak sekolah untuk menubuhkan kelab bacaan patut dipuji. Usaha mengadakan majlis pelancaran buku baru juga merupakan pendekatan proaktif yang boleh mendorong lebih ramai anggota masyarakat untuk mencintai buku.

Sebenarnya, masyarakat negara ini belum boleh dianggap sebagai masyarakat pembaca. Kita perlu melakukan anjakan paradigma seiring dengan kemajuan dunia pada hari ini. Jika ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu, mungkin pada suatu hari nanti kita pun akan berubah dan menjadi seperti masyarakat Barat dan Asia Timur yang memperoleh keseronokan daripada membaca. Kita harus terus membaca kerana jika kita sentiasa menangguhkan tindakan, akhirnya kita tidak akan dapat menghabiskan walau sebuah buku pun dalam setahun. Kita berharap juga agar masyarakat tidak terlalu cenderung untuk membeli majalah hiburan dan cerita fiksyen semata-mata supaya kita dapat membebaskan diri daripada belenggu bahan picisan seumpamanya. Oleh itu, eloklah kita cuba meninjau bahan bacaan lain yang banyak mengandungi maklumat yang dapat dimanfaatkan.

Tuesday, September 8, 2009

Untuk dan bagi

Untuk dan bagi ialah kata sendi nama yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi yang tertentu. Kata sendi untuk dan bagi boleh bervariasi atau bertukar ganti jika digunakan di hadapan frasa nama atau kata nama yang berfungsi untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. Contohnya;

Sebuah dewan untuk kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.
Sebuah dewan bagi kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.

Aktiviti untuk peningkatan akademik tahun hadapan telah siap disusun.
Aktiviti bagi peningkatan akademik tahun hadapan telah siap disusun.

Peralatan itu ditempah untuk pengajaran dan pembelajaran.
Peralatan itu ditempah bagi pengajaran dan pembelajaran.

Untuk mengatasi masalah tersebut, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan.

Sebaliknya, kata untuk dan bagi tidak boleh bertukar ganti apabila digunakan untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Contohnya;

Bagi siapakah hadiah ini. (X)
Untuk siapakah hadiah ini. (/)

Hadiah ini bagimu. (X)
Hadiah ini untukmu. (/)

Jam tangan ini bagi Fahmi. (X)
Jam tangan ini untuk Fahmi. (/)

Bagi siapakah kiriman itu? (X)
Untuk siapakah kiriman itu? (/)

Berdasarkan huraian di atas jelaslah bahawa penggunaan untuk dan bagi hanya dapat dibezakan jika penggunaanya bermaksud sesuatu yang telah ditentukan atau ditetapkan untuk seseorang.

Jam tangan ini untuk Fahmi.