Sunday, October 18, 2009

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Kempen ini telah melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996),Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Akhirnya pada tahun 1999, gerakan ini dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Program BBSN yang pertama telah dilancarkan pada tahun 1999 oleh YAB Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Pada tahun 2009, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, BBSN telah dikenali dengan nama Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2009 telahpun dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Sarawak pada 6 Oktober 2009.

Tujuan Utama Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) adalah untuk
Memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
Menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
Menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

Bulan Bahasa Kebangsaan merupakan usaha kerajaan untuk menyemarakkan rasa cinta masyarakat terhadap bahasa kebangsaan melalui pelbagai program yang dirancangkan. Memperkasakan bahasa kebagsaan juga bermakna kita mendukung Perlembagaan negara yang memaktubkan bahawa Bahasa Melayu / Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara juga seiringan dengan prinsip ketiga Rukun Negara iaitu mendukung “Keluhuran Perlembagaan.” Bahasa kebangsaan juga sejak sekian lama telah berperanan penting sebagai bahasa ilmu, bahasa pengantar pendidikan, bahasa perpaduan dan bahasa kemajuan bangsa. Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini juga selaras dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu "Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris"

Sunday, October 11, 2009

Kata pemeri

Kesilapan Penggunaan adalah dan ialah

Kata pemeri ialah dan adalah merupakan kata tugas yang tergolong sebagai kata prafrasa. Kata pemeri ialah digunakan untuk menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh-contoh yang dapat dilihat daripada penggunaan kedua-dua kata pemeri ini adalah seperti berikut :

1). Kesilapan penggunaan kata adalah di tempat ialah
Contoh:

Anak adalah anugerah Allah. (Salah)
Anak ialah anugerah Allah. (Betul)

Pak Mat adalah orang yang pertama menerpka kawasan itu. (Salah)
Pak Mat ialah orang yang pertama meneroka kawasan itu. (Betul)

Matlamat AMAN adalah pembinaan masyarakat sejahtera. (Salah)
Matlamat AMAN ialah pembinaan masyarakat sejahtera. (Betul

2) Kesilapan penggunaan kata ialah di tempat adalah
Contoh:

Majalah ini ialah untuk kaum wanita sahaja. (Salah)
Majalah ini adalah untuk kaum wanita sahaja. (Betul)

Persembahan itu ialah baik. (Salah)
Persembahan itu adalah baik. (Betul)

3) Kesilapan penggunaan kata adalah di hadapan kata kerja.

Contoh:
Matlamat utama syarikat ini adalah membantu para golongan muda. (Salah )
Usaha yang dijalankan adalah menerbitkan risalah. (Salah )

Matlamat utama syarikat ini adalah untuk membantu para golongan muda. (Betul)
Usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah. (Betul)

4) Kesilapan penggunaan kata adalah pada awal ayat.
Contoh:

Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul )

Adalah dimaklumkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul)


5) Kesilapan penggunaan kata adalah dan kata kerja

Contoh:
Keputusan ini diambil adalah berdasarkan... (Salah)
Keputusan ini diambil berdasarkan... (Betul)

Para pelajar adalah dipelawa memohon... (Salah)
Para pelajar dipelawa memohon... (Betul)

Bangunan Blok G SMK King George V ialah bangunan sekolah
kedua yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara
Kesimpulannya, Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja, manakala kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Sebaliknya, kata kerja atau frasa kerja tidak perlu didahului oleh kata pemeri, sama ada ialah atau adalah.

Wednesday, October 7, 2009

Di sekitar penggunaan kata bilangan

Kata bilangan ialah perkataan yang digunakan untuk menyatakan jumlah sesuatu. Kata bilangan digunakan di hadapan frasa nama. Terdapat beberapa jenis kata bilangan, iaitu:

1. Kata bilangan tentu
Contoh: dua, dua puluh, satu ribu, satu juta

2. Kata bilangan tak tentu
Contoh: segala, semua, para, seluruh, sedikit, beberapa, banyak

3. Kata bilangan pisahan
Contoh: setiap, tiap-tiap, masing-masing

4. Kata bilangan pecahan
Contoh : suku, separuh, setengah, sepertiga

5. Kata bilangan himpunan
Contoh: beratus-ratus, berhari-hari, berminggu-minggu, berguni-guni

6. Kata bilangan tingkat (ordinal)
Contoh : pertama, ketiga, kesepuluh

Penggunaan kata bilangan
1. Kata bilangan tentu dan kata bilangan himpunan mesti diikuti penjodoh bilangan. Contoh :
Dia memiliki dua kereta (X)
Dia memiliki dua buah kereta (/)

2. Kata bilangan tak tentu tidak perlu diikuti penjodoh bilangan (kecuali kata beberapa). Contoh: Semua orang penduduk (X)
Semua penduduk (/)
Beberapa penduduk (X)
Beberapa orang penduduk (/)

3. Kata nama selepas kata bilangan tak tentu yang membawa maksud jamak tidak perlu digandakan. Contoh:
Segala persiapan-persiapan (X)
Segala persiapan (/)
Semua peserta-peserta
Semua peserta (/)

4. Kata bilangan pisahan ‘setiap’ tidak perlu dikuti penjodoh bilangan.
Penggunaan tiap hendaklah digandakan menjadi tiap-tiap atau setiap. Contoh:
Harga setiap buah kereta adalah sama (X)
Harga setiap kereta adalah sama (/)

5. Kata bilangan pecahan ‘setengah’ (yang bermaksud separuh) berbeza daripada ‘setengah setengah’ (yang bermaksud sebilangan daripada sesuatu). Contoh:
Setengah orang berpendapat rancangan itu wajar dibatalkan. (X)
Cadangan itu tidak disokong oleh setengah pihak. (X)

Setengah tidak boleh digunakan untuk manusia (setengah badan manusia, setengah lagi bukan manusia)

6. Kata bilangan ramai ialah sinonim bagi banyak. Ramai hanya digunakan untuk manusia manakala banyak boleh digunakan untuk manusia dan benda lain.

7. Berbagai bukan kata bilangan. Berbagai bermaksud tiada bandingan. Bentuk yang
betul ialah ‘berbagai-bagai’ atau ‘pelbagai’ Contoh:
Berbagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu. (X)
Berbagai-bagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu. (/)
atau
Pelbagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu. (/)

8. Kata bilangan yang menunjukkan maksud jamak seperti para dan sekalian tidak boleh digunakan serentak. Contoh:

para hadirin sekalian (X)
hadirin sekalian (/)
semua tetamu sekalian (X)
tetamu sekalian (/)


Beraneka bunga menghiasi taman di halaman
Cerna minda
Kira bilangan kesalahan penggunaan kata bilangan dalam petikan di bawah.

Kedua ibu bapanya kini berada jauh beribu batu. Mereka terpaksa meninggalkan semua anak-anak mereka untuk menjalankan berbagai tugas di luar negara. Tiap hari mereka tidak lupa untuk menghubungi semua anak-anak mereka. Sebagai anak yang pertama, Azlan seperti kebanyakan anak-anak sulung yang lain akan mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-adiknya.

Bilangan kesalahan :

Monday, October 5, 2009

Analisis Kesalahan Bahasa

Posting kali ini ditujukan khas kepada calon STPM 2009 yang mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia, di samping sebagai latihan kepada pembaca yang lain. Petikan di bawah mengandungi beberapa kesalahan bahasa. Bagi setiap kesalahan, nyatakan sebab kesalahan dan kemudian betulkan kesalahan tersebut.
1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Perpaduan ialah satu proses yang dapat menyatupadukan anggota masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara supaya tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama. Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan yang lain, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.

Sunday, October 4, 2009

Ayat komplemen

AYAT KOMPLEMEN
Dalam penggunaan bahasa sehari-hari, kita mempunyai pilihan untuk menggunakan sama ada ayat tunggal ataupun ayat majmuk. Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi hanya satu klausa , iaitu satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat.
Ayat majmuk pula ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat yang baharu. Contohnya:
a). Aziz sedang membaca buku. (ayat tunggal)
b). Azizan sedang mengemas bilik. (ayat tunggal)
c). Aziz sedang membaca buku sementara Azizan sedang mengemas bilik. (ayat majmuk)

Ayat majmuk dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
Ayat majmuk gabungan
Ayat majmuk pancangan
Ayat majmuk campuran

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, dan sebagainya.

Ayat majmuk pancangan ialah binaan ayat yang terdiri daripada satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu. Terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu berdasarkan cara pembentukan dan jenis ayat yang dipancangkan, iaitu ayat relatif, ayat komplemen dan ayat keterangan.

Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk, atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk.

Ayat komplemen
Sebagaimana yang telah dinyatakan, ayat majmuk pancangan terdiri daripada tiga jenis iaitu ayat relatif, ayat komplemen dan ayat keterangan. Ayat komplemen ialah bahagian ayat dalam binaan ayat majmuk yang melengkapkan ayat tersebut. Ayat komplemen ditandai oleh penggunaan kata hubung komplemen bahawa dan untuk.Contohnya:
a). Ketua Pengarah Kesihatan mengumumkan bahawa kematian akibat H1N1 tidak berubah.
b). Beliau menjelaskan bahawa cuti semua pegawai perubatan dibekukan.
c). Amat tidak wajar untuk mereka menyalahkan orang lain.

Bahagian yang bercetak miring dalam ayat di atas ialah ayat komplemen, iaitu yang berfungsi sebagai objek tepat kepada kata kerja transitif seperti mengumumkan dan menjelaskan, selain menjadi pelengkap kepada ayat induk atau ayat utama. Terdapat sebilangan kata kerja transitif lain yang perlu diikuti oleh ayat komplemen yang berfungsi sebagai objek supaya maksud ayat tersebut lengkap, antaranya; menafikan, menyatakan, menyebut, menegaskan, mengharapkan, menyedari, mengakui, melaporkan, mengesahkan.

Selain menjadi objek, ayat komplemen juga menjadi pelengkap kepada frasa kerja tak transitif yang lazimnya menggunakan imbuhan ber-... sebagaimana contoh berikut;
a). Mereka berpendapat bahawa masalah itu telah selesai.
b). Kami beranggapan bahawa penyelesaian itu hanya sementara.

Bahagian yang bercetak miring dalam ayat di atas ialah ayat komplemen, iaitu yang berfungsi sebagai pelengkap kepada frasa kerja tak transitif seperti berpendapat dan beranggapan. Terdapat sebilangan kata kerja tak transitif lain yang perlu diikuti oleh ayat komplemen yang berfungsi sebagai pelengkap supaya maksud ayat tersebut lengkap, antaranya; bermaksud, berpendirian, berpandangan, berfahaman, bersetuju, berharap.

Sebagai kesimpulannya, dapat dinyatakan bahawa ayat komplemen berfungsi sebagai objek dan pelengkap, berdasarkan kata kerja atau frasa kerja dalam ayat induk atau ayat utama.

Saturday, October 3, 2009

Pelantikan dan Perlantikan

Mesej diterima:
Tarikh : 2 Oktober 2009
Masa : 3.02 petang
Pengirim : Luqman
Pertanyaan : Apa beza pelantikan dengan perlantikan?

Untuk membezakan ejaan perlantikan dengan pelantikan perkara pertama yang perlu ditentukan ialah imbuhan yang boleh digunakan pada kata dasar yang bermula dengan huruf ‘l’ seperti lucut, letak, lancar, lanjut, dan lain-lain Permasalahan ini tidak akan timbul pada perkataan yang bermula dengan huruf lain daripada l.
Jika perkataan tersebut boleh ditambah imbuhan meN-…-kan, perkataan tersebut dieja dengan peN-…-an iaitu tanpa huruf ‘r’. Sebagai contoh, perkataan lucut, letak, lancar, lanjut, lepas, laksana boleh ditambah apitan meN-…-kan (me-…-kan) menjadi; melucutkan, meletakkan, melancarkan, melanjutkan, melepaskan, melaksanakan perkataan tersebt dieja sebagai; pelucutan, peletakan, pelancaran, pelanjutan, pelepasan, pelaksanaan.


Sebaliknya, jika sesuatu perkataan yang bermula dengan huruf ‘l’ boleh menerima apitan beR-…, seperti berlumba, berlawan, berlaga, perkataan tersebut dieja dengan peR-…-an iaitu dengan huruf r (per-…-an) menjadi; perlumbaan, perlawanan, perlagaan.


Kaedah ini tidak melibatkan perkataan yang bermula dengan huruf lain, selain huruf l seperti gaduh, tambah, damai, tetap dieja sebagai pergaduhan, pertambahan, perdamaian, dan bukan dieja pegaduhan, petambahan, pedekatan, pedamaian.


Sebagai kesimpulannya, keraguan tentang ejaan perkataan yang menggunakan pe-…-an atau per-…-an dapat diatasi dengan menentukan imbuhan yang dapat digunakan dengan kata dasarnya.

Friday, October 2, 2009

Ayat Pasif

AYAT PASIF
Definisi
Ayat pasif ialah ayat yang mengutamakan objek asal (iaitu objek dalam ayat aktif) sebagai perkara atau unsur yang diterangkan, manakala subjek asalnya tidak diutamakan. Contohnya:
i. Naib Yang Dipertua PIBG menyampaikan anugerah itu. (Ayat Aktif)
(subjek)+ (kata kerja transitif) +(objek)
ii.Anugerah itu disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG. (Ayat Pasif)
(subjek)+ (kata kerja pasif) +(pelaku)


Anugerah itu disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG .

Jenis ayat pasif
1. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’di’ dan ’ter’
Contohnya:
a). Hadiah pertandingan itu sudah dituntut oleh pemenangnya semalam.
b). Peralatan sistem suara itu tidak terangkat oleh mereka.

2. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’ber’ dan ’ke...-an’.
a). Dalam perjalanan pulang mereka kehujanan.
b). Ketika mereka tiba juadah itu sudah bertutup.
c). E-mel yang saya kirim belum berjawab lagi.

3. Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Orang Pertama dan Kedua
Contoh
a). Laporan peristiwa itu sudah saya siapkan semalam.
b). Tugasan itu harus awak laksanakan dengan segera.
c). Masalah itu wajar kita hadapi bersama-sama.
Kesimpulannya, kita hendaklah dapat membezakan struktur ayat pasif dengan ayat aktif supaya kita dapat membina ayat yang gramatis dan tidak dianggap sebgai pengguna bahasa yag pasif.

Wednesday, September 30, 2009

Antara dan Di antara

1. Rumah Salahuddin terletak antara dua buah kondominium di ibu kota.


2. Di antara kondominium mewah di ibu kota ialah Kondominium Atiria.

Penggunaan antara dan di antara dalam kedua-dua ayat di atas adalah salah. Kata antara dapat berfungsi sebagai kata sendi nama dan kata arah.

Sebagai kata arah, antara digunakan di belakang kata sendi nama di membentuk di antara, yang menunjukkan tempat atau kedudukan fizikal yang mempunyai jarak. Contohnya;
1. Pejabat ayahnya terletak di antara sebuah bank dan pasar raya.
2. Di antara kedua-dua buah kereta itu terdapat sebuah motosikal.

Sebagai kata sendi nama, antara hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian “lingkungan yang tidak mempunyai jarak.” Selain itu, kata antara sebagai kata sendi nama boleh digunakan dalam ayat yang menunjukkan unsur perbandingan. Dalam hal ini, kata sendi nama yang berpasangan dengan antara ialah “dengan”. Contohnya;
1. Saya tidak dapat membuat keputusan jika diminta memilih antara bulan dengan bintang.
2. Pertelingkahan antara abang dengan kakaknya tidak berpanjangan.
Kata sendi nama antara juga boleh berpasangan dengan hingga bagi menunjukkan masa atau lingkungan yang idak menunjukkan jarak. Contohnya;
1. Pertunjukan itu dibuka kepada orang ramai antara pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam.
2. Diskaun antara 20 peratus hingga 25 peratus ditawarkan kepada pembeli rumah yang
berminat.

Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang jelas antara kata sendi nama antara dengan kata arah di antara, sama ada dari segi golongan kata mahupun penggunaanya. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa yang peka kepada perbezaan tersebut, sewajarnyalah kita memastikan penggunaan kata yang tepat antara kedua-dua perkataan.

Sunday, September 27, 2009

Membaca Jambatan Ilmu 2

Dalam arus kemajuan dan perkembangan era teknologi maklumat (TM), dunia buku dan budaya membaca kian terpinggir. Masyarakat hari ini mempunyai cara yang lebih mudah, selain membaca buku untuk mendapatkan maklumat, antaranya melalui internet, e-mel, CD-ROM, dan sebagainya. Perkembangan ini juga menukar budaya membaca di perpustakaan dengan tersedianya kemudahan komputer dan internet. Pengunjung perpustakaan lebih berminat untuk “berkomunikasi” dengan komputer melalui internet berbanding dengan mencari buku buku sebagaimana sebelumnya.
Lebih menyedihkan lagi, pengiktirafan pihak berwewenang dengan mewartakan “bulan membaca” seakan-akan tidak diterima pakai lagi oleh masyarakat hari ini, khususnya golongan remaja dan belia. Perubahan sikap dan kesan kemajuan sistem maklumat memaksa pihak berkenaan menyeru dan berkempen untuk menarik masyarakat supaya mencintai dan menjadikan budaya membaca sebagai amalan harian. Dalam zaman perubahan, pengusaha industri buku “terpaksa” memikirkan cara mereka menghasilkan buku dan menjualnya. Perubahan ini mungkin memaksa penerbit-penerbit buku memindahkan kandungan buku ke dalam bentuk CD dan CD-ROM. Sudah pasti bentuk tersebut lebih mendapat perhatian masyarakat pencari maklumat berbanding dengan buku-buku yang dicetak di atas kertas.

Pada umumnya, budaya buku bukanlah suatu yang wujud sejak manusia bermula. Kemajuan percetakan buku adalah budaya baharu yang hanya bermula kira-kira 150 tahun lalu yang melahirkan sistem persekolahan moden di Eropah. Jelas, setiap yang baharu akan berakhir. Budaya buku mungkin sudah pada penghujung zamannya dengan kemunculan budaya teknologi maklumat yang telah meresap hampir ke setiap ruang kehidupan moden hari ini.

Membaca di mana-mana sahaja

Sesungguhnya masyarakat hari ini berada dalam zaman peralihan dalam cara menerima dan menyebarkan maklumat. Maklumat yang sekian lama disebarkan dan digarap secara bercetak dalam bentuk buku kini mula diambil alih oleh internet dan peralatan teknologi elektronik yang semakin canggih. Persoalan mungkin timbul, mampukah kemajuan teknologi maklumat (TM) dan cara penyebaran maklumat bentuk baharu ini mengubah, membentuk, dan membudayakan masyarakat yang sebenarnya tidak berminat untuk membaca, atau menjadi pengguna kemudahan TM yang akrab? Kalaulah budaya mendapatkan maklumat dan pengetahuan dengan penggunaan TM meresapi jiwa setiap lapisan masyarakat, masyarakat Malaysia pasti akan menjadi bangsa yang termaju di dunia.

Sebenarnya sikap masyarakat negara ini yang kurang berminat terhadap kebiasaan membaca atau mencari maklumat merupakan salah satu kelemahan sistem pendidikan di negara kita. Melalui sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, pelajar diajar secara langsung tentang aspek menulis, membaca, mengira, menghafal, atau mengingat apa-apa yang telah dibaca untuk dikemukakan semula sewaktu peperiksaan.

Hasilnya, para pelajar hanya membaca dan menghafal fakta-fakta penting untuk lulus dalam peperiksaan. Lazimnya, pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan akan diiktiraf sebagai pelajar cemerlang. Namun, yang nyata pelajar yang diiktiraf sebagai cemerlang itu belum tentu akan menjadi manusia yang mengamalkan budaya membaca sebagai rutin kehidupan. Mereka hanya rajin menghafal buku-buku pelajaran dan bukannya menjadi manusia yang dahagakan ilmu dan mencari maklumat tambahan melalui pembacaan daripada pelbagai media.

Hakikatnya, sistem peperiksaan yang berorientasikan peperiksaan telah menyumbang ke arah melahirkan manusia cemerlang yang tidak berminat membaca. Walau secanggih mana sekalipun sistem dan media maklumat dalam era TM, usaha untuk melahirkan masyarakat pencari maklumat yang tulen pasti akan menemui jalan buntu. Hal ini kerana mereka lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan pelajaran sahaja sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Oleh sebab itu, sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan sahaja perlu difikirkan semula dengan membantu negara menghasilkan masyarakat yang bermaklumat, iaitu masyarakat yang terus berminat untuk belajar, membaca, mencari ilmu , dan meneroka maklumat baharu. Sewajarnya masyarakat berusaha mencungkil pelbagai maklumat selaras dengan kemajuan era teknologi maklumat hari ini. Sistem persekolahan yang mampu mengembangkan bakat dan minat pelajar akan menghasilkan pelajar dan masyarakat yang mengamalkan budaya membaca sama ada daripada bahan buku atau media elektronik.

Catatan:
Dua rencana berikut iaitu; Membaca Jambatan Ilmu 1 dan Membaca Jambatan Ilmu 2 disiarkan untuk menjadi renungan tentang kepentingan membaca.

Membaca Jambatan Ilmu 1

Membaca merupakan aktiviti yang amat berfaedah. Amalan membaca amat penting bagi kita semua kerana dengan membaca akan dapat melahirkan generasi yang berfikiran kritis dan matang. Budaya membaca wajar dipupuk dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kini. Budaya membaca bukan sahaja dapat membina generasi yang kritis malah pembudayaan amalan itu akan dapat mempercepat usaha untuk membentuk negara kita agar lebih maju dan pesat membangun seperti negara Jepun dan Korea Selatan. Hasil daripada membaca sesuatu makalah mampu memberikan pengalaman yang baru yang dapat diaplikasikan dalam urusan harian yang tertentu.

Untuk memenuhi hasrat mewujudkan masyarakat yang gemar membaca, banyak perpustakaan awam dibina. Selain itu, kerajaan mengisytiharkan bulan Julai sebagai Bulan Membaca peringkat kebangsaan. Tindakan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri kita yang mahukan rakyat membaca supaya kita dapat melahirkan masyarakat yang serba tahu. Di samping itu, amalan membaca membolehkan kita membuat refleksi tentang kelemahan diri kita sendiri kerana kita akan dapat memahami perkara-perkara yang tidak diketahui selama ini! Pengetahuan am sama ada isu semasa ataupun sejarah dapat menaikkan motivasi diri sehingga mewujudkan daya saing yang sihat.

Menurut Frank Tibolt, penulis buku Sentuhan Kejayaan, dengan membaca kita dapat berubah menjadi manusia yang lengkap. Kata-kata Mohd. Atiq, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2003 bahawa membaca itu keperluan hidup jelas membuktikan bahawa budaya membaca mesti diamalkan setiap masa. Dalam hal ini, galakan yang diberikan kepada pihak sekolah untuk menubuhkan kelab bacaan patut dipuji. Usaha mengadakan majlis pelancaran buku baru juga merupakan pendekatan proaktif yang boleh mendorong lebih ramai anggota masyarakat untuk mencintai buku.

Sebenarnya, masyarakat negara ini belum boleh dianggap sebagai masyarakat pembaca. Kita perlu melakukan anjakan paradigma seiring dengan kemajuan dunia pada hari ini. Jika ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu, mungkin pada suatu hari nanti kita pun akan berubah dan menjadi seperti masyarakat Barat dan Asia Timur yang memperoleh keseronokan daripada membaca. Kita harus terus membaca kerana jika kita sentiasa menangguhkan tindakan, akhirnya kita tidak akan dapat menghabiskan walau sebuah buku pun dalam setahun. Kita berharap juga agar masyarakat tidak terlalu cenderung untuk membeli majalah hiburan dan cerita fiksyen semata-mata supaya kita dapat membebaskan diri daripada belenggu bahan picisan seumpamanya. Oleh itu, eloklah kita cuba meninjau bahan bacaan lain yang banyak mengandungi maklumat yang dapat dimanfaatkan.

Tuesday, September 8, 2009

Untuk dan bagi

Untuk dan bagi ialah kata sendi nama yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi yang tertentu. Kata sendi untuk dan bagi boleh bervariasi atau bertukar ganti jika digunakan di hadapan frasa nama atau kata nama yang berfungsi untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. Contohnya;

Sebuah dewan untuk kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.
Sebuah dewan bagi kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.

Aktiviti untuk peningkatan akademik tahun hadapan telah siap disusun.
Aktiviti bagi peningkatan akademik tahun hadapan telah siap disusun.

Peralatan itu ditempah untuk pengajaran dan pembelajaran.
Peralatan itu ditempah bagi pengajaran dan pembelajaran.

Untuk mengatasi masalah tersebut, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, beberapa cadangan sedang dipertimbangkan.

Sebaliknya, kata untuk dan bagi tidak boleh bertukar ganti apabila digunakan untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Contohnya;

Bagi siapakah hadiah ini. (X)
Untuk siapakah hadiah ini. (/)

Hadiah ini bagimu. (X)
Hadiah ini untukmu. (/)

Jam tangan ini bagi Fahmi. (X)
Jam tangan ini untuk Fahmi. (/)

Bagi siapakah kiriman itu? (X)
Untuk siapakah kiriman itu? (/)

Berdasarkan huraian di atas jelaslah bahawa penggunaan untuk dan bagi hanya dapat dibezakan jika penggunaanya bermaksud sesuatu yang telah ditentukan atau ditetapkan untuk seseorang.

Jam tangan ini untuk Fahmi.

Sunday, August 23, 2009

Mengenal Akronim

Akronim ialah kata tunggal yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata dan ditulis serta dilafazkan seperti kata yang wajar. Akronim ditulis dengan tiga cara (bergantung pada cara pembentukannya).

1. Gabungan huruf awal rangkai kata nama khas yang disingkatkan, ditulis dengan huruf besar keseluruhannya. Contohnya:
ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia)
IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia)

2. Gabungan huruf awal/suku kata pertama bagi rangkai kata nama am, ditulis dengan huruf kecil keseluruhannya. Contohnya:
tabika (taman bimbingan kanak-kanak)
kugiran(kumpulan gitar rancak)
cerpen (cerita pendek)
pawagam (panggung wayang gambar)

3. Gabungan huruf awal dan/ atau suku kata pertama bagi nama khas , ditulis dengan huruf kecil kecuali huruf yang pertama huruf besar. Contohnya:
Bernama (Berita Nasional Malaysia)
Intan (Institut Tadbiran Awam Negara)
Mara (Majlis Amanah Rakyat)
Petronas (Petroleum Nasional)



MAS -akronim tetapi dalam bahasa Inggeris

Bagaimana pula dengan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), RTM (Radio Televisyen Malaysia), KTM (Keretapi Tanah Melayu)? Adakah ketiga-tiganya juga akronim. Ketiga-tiganya bukan akronm tetapi singkatan. Lazimnya apabila dilafazkan, akronim dapat disebut dengan bunyi yang tertentu tetapi singkatan seperti ATM, RTM, KTM, dan lain-lain tidak dapat dibunyikan.

Sunday, August 16, 2009

Mengenali Kata Adjektif

Suria pagi memancarkan sinarnya menerangi
alam agar penghuninya sentiasa ceria

Dalam keterangan gambar di atas terdapat satu patah kata adjektif. Kata adjektif ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Kata adjektif dapat dikenal pasti dan dibezakan daripada kata nama atau kata kerja dengan cirinya yang boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat, seperti; sangat, amat, paling, sungguh, kian, dan lain-lain. Kata adjektif menceritakan sifat kata nama dan kata kerja.

Kata adjektif dalam Bahasa Melayu dibahagikan kepada sembilan jenis berdasarkan kriteria makna.

Kata Adjektif Keadaan
memberi makna keadaan kata nama yang diterangkan. Contoh : buku tebal, budak pintar

Kata Adjektif Warna
membawa makna warna untuk menerangkan kata nama. Contoh : baju kuning, bibir merah.

Kata Adjektif Ukuran
menyatakan ukuran kata nama. Contoh : rumah panjang, pembaris pendek

Kata Adjektif Bentuk
menerangkan mengenai bentuk kata nama. Contoh : jalan lurus, mata bulat

Kata Adjektif Jarak
menerangkan kata nama dari segi ruang. Contoh : bilik sempit, kawan jauh.

Kata Adjektif Waktu
memberi penjelasan konsep masa sebagai unsur keterangan. Contoh : makanan segera, kereta baharu

Kata Adjektif Cara
membawa makna keadaan kelakuan atau ragam untuk menerangkan kata nama. Contoh : berjalan perlahan, hujan lebat

Kata Adjektif Perasaan.
memberi pengertian kepada konsep perasaan yang terkandung dalam sesuatu kata nama. Contoh : rindu akan, sangat benci

Kata Adjektif Pancaindera
terdiri daripada yang memberi makna rasa, pandang, dengar, bau dan sentuh. Contoh :
makanan lazat (konsep rasa)
lelaki kacak (konsep pandang)
suara merdu (konsep dengar)
minyak wangi (konsep bau)
kulit licin (konsep sentuh)

Cara mengenal pasti kata adjektif :
Kata adjektif boleh berganding dengan kata penguat seperti; amat, sungguh, kian, nian, dan paling, atau diberi imbuhan ‘ter’ dan ‘se’.sama ada diletakkan di hadapan kata adjektif atau di akhirnya.

Contoh: amat panjang, paling istimewa, sungguh riang, pantas sekali, termahal, selembut

Tuesday, August 4, 2009

Sehubungan dengan itu ....


Floria'09 Putrajaya

Foto di atas mungkin tidak tidak ada hubungan secara langsung dengan persoalan tatabahasa yang dibincangkan pada kali ini. Foto yang dipaparkan ini hanya sebahagian daripada ratusan foto yang sempat penulis rakamkan sewaktu berkunjung ke Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria '09) di pesisiran tasik Presint 2 Putrajaya pada 1 Ogos yang lalu. Walaupun penulis bukanlah penggemar bunga yang tegar, namun kekaguman terhadap pelbagai spesies bunga, dengan pelbagai warna yang dipamerkan dan secara tidak langsung telah menukar lanskap di kawasan situ menjadi sebuah kota kembang yang berwarna-warni, menjadi pilihan kepada penulis untuk mengaitkannya bagi membincangkan ungkapan yang berikut;

sehubungan dengan hal itu,
sehubungan dengan itu,
sehubungan itu,

Antara ungkapan di atas, ungkapan yang manakah yang dianggap menepati sistem bahasa Melayu? Ketiga-tiganya seolah-olah tiada kesalahan, justeru dianggap betul semuanya. Walau bagaimanapun, ungkapan sehubungan itu dianggap tidak gramatis kerana dari segi makna, sehubungan itu bermaksud sama hubungan itu. Ungkapan ini tidak gramatis kerana tidak mempunyai kata sendi nama dengan sebagai unsur yang menentukan wujudnya perbandingan. Ungkapan yang betul ialah sama hubungan dengan itu atau sehubungan dengan itu, kerana awalan se-... membawa maksud 'sama' Kata ganti nama tunjuk itu pula berfungsi sebagai penanda kata nama yang boleh digugurkan. Oleh itu, ungkapan sehubungan dengan hal itu juga boleh digunakan.

Saturday, August 1, 2009

Setengah Orang, Setengah Bukan Orang

Kata bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung benda, misalnya satu, dua, dan seterusnya, beberapa, semua, dan sebagainya. Banyak kesalahan penggunaan kata bilangan yang dapat kita temukan dalam pelbagai bentuk penulisan kerana penutur atau penulis tidak memahami penggunaannya yang betul.

Kata bilangan tak tentu setengah-setengah, kata bilangan pisahan tiap-tiap, dan kata bilangan himpunan kedua-dua, dan sebagainya tidak boleh disingkatkan sewenang-wenangnya. Contoh kesalahan penggunaan kata bilangan yang disingkatkan;

Setengah orang tidak suka akan durian. (X)
Setengah-setengah orang tidak suka akan durian. (/)
Sesetengah orang tidak suka akan durian. (/)

Catatan:
Kata bilangan setengah orang membawa maksud bahawa separuh badan manusia manakala separuh badan lagi bukan manusia antaranya ialah ikan duyung seperti foto berikut.

ikan duyung (setengah orang, setengah bukan orang)


Oleh itu, para pembaca diharap lebih berhati-hati apabila menggunakan kata bilangan setengah dan diikuti dengan kata nama yang merujuk kepada manusia kerana dibimbangi akan membawa maksud sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

Tiap pelajar harus mematuhi peraturan sekolah. (X)
Tiap-tiap pelajar harus mematuhi peraturan sekolah. (/)

Kedua orang itu rakannya. (X)
Kedua-dua orang itu rakannya. (/)

Catatan:
Kedua menunjukkan kedudukan

Berbagai rancangan diatur untuk menyambut kepulanngannya. (X)
Berbagai-bagai rancangan diatur untuk menyambut kepulangannya.(/)
Pelbagai rancangan diatur untuk menyambut kepulangannya. (/)

Catatan:
Berbagai bermaksud berbanding

Kata bilangan tak tentu para pula tidak boleh diulang menjadi para-para. Contoh kesalahan dan pembetulan yang berikut:
Para-para penerima anugerah sedang berbaris.(X)
Para penerima anugerah sedang berbaris. (/)

Catatan:
Para-para bermaksud rak tempat meletakkan barang.

Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga, dan seterusnya tidak boleh didekatkan sekali gus dengan kata bilangan pecahan. Lihatlah contoh kesalahan dan pembetulan yang berikut:
Sudah tiga setengah jam dia menunggu. (X)
Sudah tiga jam suku dia menunggu. (/)

Harga pen itu tiga setengah ringgit. (X)
Harga pen itu tiga ringgit setengah. (/)

Kesimpulannya, kata bilangan perlu di gunakan dengan cara yang betul supaya tepat maksudnya dan tidak tidak membawa maksud yang lain.

Thursday, July 30, 2009

Menemui, Menemukan, Mempertemukan, Pertemuan, Penemuan

Sebelum membincangkan kelima-lima perkataan di atas, perhatikan ayat-ayat berikut:
1. Ibu bapa menemui guru untuk membincangkan kemajuan anak-anak mereka.
2. Pihak polis menemui kereta yang ditinggalkan oleh penjenayah itu.
3. Rancangan Jejak Kasih telah menemukan ibu dan anak yang telah lama terpisah.

Kamus Dewan Edisi Keempat memberi makna yang berlainan bagi kelima-lima perkataan di atas:

a. menemui
Maksud
1. bertemu dengan, berjumpa dengan
2. pergi bertemu dengan, mengunjungi, menziarahi, melawat

Contoh ayat:
Calon doktor itu menemui ketua jabatan untuk mendapatkan maklumat.

b. menemukan
Maksud:
1. mendapati, menjumpai, bertemu dengan apa-apa yang dicari (yang tersembunyi, belum diketahui lagi)
2. mengalami, menderita

Contoh ayat:
Pasukan keselamatan menemukan beberapa bukti yang boleh mengaitkan tertuduh dengan kes itu.

c. mempertemukan
Maksud:
membawa supaya bertemu

Contoh ayat
Festival Kesenian itu telah mempertemukan karyawan seni dari seluruh Nusantara.

d. pertemuan
Maksud:
1. perihal bertemu, perjumpaan
2. tempat bertemu
3. perkumpulan, perhimpunan

Contoh ayat:
Kuala Lumpur terletak di pertemuan Sungai Gombak dengan Sungai Kelang.

e. penemuan
Maksud:
1. perihal menemui atau menemukan
2. sesuatu yang didapati atau ditemui

Contoh ayat:
Penyelidikan yang dijalankan oleh para saintis telah membawa penemuan sejenis vaksin yang dapat melawan virus H1N1.

Berdasarkan maksud yang diberi untuk kelima-lima perkataan di atas, jelas bahawa terdapat perbezaan makna dan cara penggunaannya. Kesalahan yang lazim dilakukan ialah penggunaan kata menemui pada tempat menemukan. Sebagai contoh, penggunaan menemui dalam ayat 2 di atas (Pihak polis menemui kereta yang ditinggalkan oleh penjenayah itu) adalah salah dan membawa maksud bahawa polis bertemu dengan, mengunjungi, melawat atau menziarahi kereta. Ayat yang betul ialah; Pihak polis menemukan kereta yang ditinggalkan oleh penjenayah itu. Begitulah seterusnya, ayat yang betul bagi ayat 3 ialah; Racangan Jejak Kasih telah mempertemukan ibu dan anak yang telah lama terpisah.

Satu rumus mudah yang boleh dijadikan panduan untuk membezaka penggunaan menemui dan menemukan adalah seperti berikut:
menemui + siapa
menemukan + apa

Catatan:
Sama ada menemui, menemukan, mempertemukan, pertemuan, atau penemuan, kelima-lima perkataan ini membawa implikasi bahawa sekurang-kurangnya dua pihak atau lebih bertemu dalam sesuatu peristiwa atau proses tertentu dan ada kesan yang timbul akibat pertemuan itu. Kesan itu mungkin dari sudut perasaan, pemikiran, sikap, pandangan, persepsi, tanggapan dan sebagainya yang mungkin dapat mengubah suasana, sepertimana foto berikut:

Majlis Temu Mesra Profesional yang telah mempertemukan ibu bapa, anak dan guru

Wednesday, July 29, 2009

DALAM, DI DALAM, KE DALAM (PEDOMAN BAHASA BILANGAN 02)

Contoh kesalahan pengunaan dalam dan di dalam
1. Kenangan manis itu sentiasa terbayang di dalam fikirannya. (X)
2. Pekerja dari Bangladesh itu fasih bertutur di dalam bahasa Melayu. (X)

Huraian:
Dalam boleh berfungsi sebagai kata adjektif, kata arah, dan kata sendi nama.

Sebagai kata adjektif, dalam menunjukkan tahap atau peringkat. Lazimnya kata penguat seperti 'amat, sangat, paling' dan sebagainya boleh diletakkan sebelum atau sesudah kata dalam, sebagai contoh:
a. Pengetahuannya tentang spesies katak sangat dalam.
b. Lubang yang baru digalinya dalam sangat.

Sebagai kata arah pula, dalam digunakan sesudah kata sendi nama di atau ke yang menunjukkan kedudukan, lokasi, arah, atau hala, sebagai contoh:
a. Aiman menyimpan permainannya di dalam sebuah kotak.
b. Penjahat itu masuk ke dalam sebuah rumah yang terbiar.

Sebagai kata sendi nama pula dalam digunakan di hadapan frasa nama yang membawa maksud 'lingkungan yang tidak mempunyai jarak atau ruang' seperti perkara, peristiwa, keadaan, hal, dan sebagainya, sebagai contoh:
a. Kes itu masih dalam penyiasatan pihak polis.
b. Kertas cadangan itu hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu.
Berdasarkan huraian di atas, jelaslah bahawa terdapat perbezaan dan cara penggunaan antara dalam, di dalam, dan ke dalam. Oleh itu, dua ayat yang salah penggunaan dalam perlu dibetulkan menjadi:
1. Kenangan manis itu sentiasa terbayang dalam fikirannya.
2. Pekerja dari Bangladesh itu fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

PEDOMAN BAHASA (BILANGAN 01)

Berdasarkan banyak maklum balas yang diterima, ramai pembaca (terutama pelajar menengah rendah) yang menyatakan bahawa huraian dan analisis tentang isu-isu bahasa yang penulis kemukakan lebih bersifat ilmiah dan sukar difahami oleh mereka walaupun isunya menarik. Untuk tujuan itu, penulis akan mengetengahkan isu-isu tatabahasa dan mengupasnya dengan pendekatan yang lebih mudah difahami melalui rencana bersiri di bawah tajuk 'PEDOMAN BAHASA' di samping mengekalkan konsep asal. Terima kasih diucapkan kepada pembaca yang telah menghantar ulasan dan pertanyaan. Sokongan anda amat dihargai.
PENGGUNAAN 'dari ....... ke'

Contoh kesalahan penggunaan 'dari ... ke'
1. Dari masa ke semasa bilangan mangsa H1N1 semakin meningkat. (X)
2. Dari tahun ke setahun tidak ada perubahan yang berlaku di situ. (X)

Huraian:
Penggunaan kata sendi nama dari di hadapan kata nama yang berkaitan dengan masa perlu diikuti oleh kata sendi nama ke, dan kata nama atau frasa nama yang sama bentuknya.

Bentuk frasa sendi nama yang betul untuk ayat di atas adalah seperti berikut:
1. Dari masa ke masa bilangan mangsa H1N1 semakin meningkat.
atau
Dari semasa ke semasa bilangan mangsa H1N1 semakin meningkat.

2. Dari setahun ke setahun tidak ada perubahan yang berlaku di situ.
atau
Dari tahun ke tahun tidak ada perubahan yang berlaku di situ.

Contoh lain:
dari hari ke hari atau dari sehari ke sehari
dari minggu ke minggu atau dari seminggu ke seminggu
dari bulan ke bulan atau dari sebulan ke sebulan

Sunday, July 26, 2009

Hukum D-M

Salam sejahtera, hari ini ialah hari yang kelima dalam bulan Syaaban. Hal ini bermakna ada 24 hari lagi sebelum tibanya 1 Ramadan atau 53 hari lagi sebelum tibanya 1 Syawal. Namun demikian, kain rentang, pemidang, risalah, bahkan media cetak dan media elektronik telah mula berlumba-lumba menyiarkan pelbagai iklan untuk mempengaruhi pembeli membeli produk yang diiklankan sebagaimana dalam foto di bawah.



Pemidang yang direntangkan di hadapan sebuah pasar raya di Senawang di atas sememangnya menarik perhatian orang ramai, termasuk penulis. Namun begitu, bagi penulis yang menarik perhatian bukanlah produk yang diiklankan, tetapi kecelaruan bahasa yang terdapat dalam pemidang di atas.

Dalam posting yang kedua penulis telah menyentuh sepintas lalu tentang Hukum D-M. Hukum ini dinamakan sedemikian bukan kerana nama individu yang memperkenalkannya tetapi kerana singkatan daripada dua perkatan iaitu Diterangkan dan Menerangkan. Hukum D-M ini hanya digunakan dalam binaan Frasa Nama dan tidak melibatkan Frasa Kerja, Frasa Adjektif mahupun Frasa Sendi Nama. Mengikut Hukum D-M, jika terdapat dua atau lebih perkataan dalam binaan frasa nama, unsur yang hendak diterangkan (yang dibei penekanan) hendaklah mendahului unsur yang menerangkan (penerangan tentang unsur tadi). Tegasnya, unsur D terletak di hadapan unsur M.

Sering kita temukan kesalahan frasa nama yang tidak mematuhi Hukum D-M seperti: cili sos, mini bas, maggie mi, Kasim Restoran, lain-lain hal, lain-lain faktor, dan sebagainya. Hal ini berlaku kerana pengaruh hukum M-D dalam bahasa Inggeris, kerana unsur yang menerangkan (M) mendahului unsur yang diterangkan (D). Oleh sebab itu, frasa seperti Hilton Hotel, red lorry, chilli sauce, mini bus, dan sebagainya adalah betul mengikut bahasa Inggeris tetapi salah mengikut Hukum D-M.

Berbalik kepada pemidang di atas, sekiranya diperhatikan dengan teliti, sebenarnya terdapat empat kesalahan yang sangat ketara. Kesalahan yang pertama ada kaitannya dengan Hukum D-M yang sedang dibincangkan, iaitu Pre-Raya Promosi sepatutnya ditulis: Promosi Praraya. Unsur yang hendak diterangkan (D) ialah promosi, manakala unsur yang menerangkan (M) ialah praraya. Kesalahan yang kedua ialah Pre-Raya. Dalam bahasa Melayu awalan yang dipinjam daripada bahasa Inggeris iaitu pre- (yang bermaksud sebelum) ditulis sebagai pra. Kesalahan yang ketiga ialah huruf r pada perkataan raya tidak perlu ditulis dengan huruf besar kerana raya bukanlah kata nama khas. Kesalahan yang keempat, oleh sebab raya tidak perlu ditulis dengan huruf besar, tanda sempang tidak diperlukan untuk memisahkan awalan pra dengan raya.

Berdasarkan peraturan dalam Hukum D-M, jelaslah bahawa binaan yang betul bagi keseluruhan frasa ialah: Promosi Praraya

Catatan:
Tiga mesej penting yang hendak disampaikan melalui tulisan ini ialah yang pertama, semua pihak khususnya para pengiklan memahami binaan frasa nama yang betul mengikut Hukum D-M. Mesej yang kedua ialah pengiklan juga tidak seharusnya terlalu ghairah untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka dengan mengaitkannya dengan hari raya kerana puasa pun belum lagi. Mesej yang ketiga ialah pengguna perlu berhati-hati kerana berdasarkan pengamatan penulis yang sering melalui kawasan tersebut, iklan jualan produk sedemikian telah dipaparkan sepanjang tahun di situ tetapi dengan sedikit perubahan.

Saturday, July 25, 2009

Kuharap kaugunakan masamu (untuk mengulang kaji)

Dalam posting yang pertama, di bawah tajuk 'Salam Perkenalan,' penulis telah memperkenalkan tajuk kecil 'Kulihat, kudengar, kusebut' yang dipadankan daripada motto 'Kudatang, kulihat, kutawan' (I came, I saw, I conquered). Huraian tentang maksud 'Kulihat, kudengar, kusebut' boleh ditelusuri pada rencana berkenaan.

Ramai yang bertanya, antaranya Nabilah, Suhaila dan Suhaili; mengapa 'ku' mesti dirapatkan dengan perkataan yang mengikutnya? Sebagai penjelasan kepada pertanyaan mereka dan makluman kepada semua pembaca, ku ialah kata ganti singkat iaitu singkatan bagi 'aku' sama seperti 'mu' (kamu), dan kau (engkau). Satu lagi kata ganti nama diri singkat ialah 'nya'. Pada pendapat penulis kemungkinannya -nya dikaitkan dengan konsep 'dia punya' sebagai contoh; 'baju kepunyaan dia' menjadi 'bajunya'

Keempat-empat kata ganti singkat ini iaitu ku, mu, kau dan nya dinamakan juga sebagai klitik. Ada dua cara mengeja klitik / kata ganti singkat:

1. ku dan kau dicantumkan dengan perkataan yang mengikutinya.
Contoh:
kudatang
kulihat
kutawan
kauambil
kaucuba
kaualami

2. ku, mu dan nya dicantumkan dengan perkataan sebelumnya
Contoh:
harapanku
niatku
untukku
jiwamu
hasratmu
perasaanmu
hatinya
hidupnya
kesukaannya

Berdasarkan dua cara pengejaan sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, dapat disimpulkan bahawa ku, mu, kau, dan nya tidak boleh berdiri sendiri dan mesti ditulis serangkai dengan perkataan yang mendahului atau mengikutinya. Oleh sebab ku, mu, kau dan nya tidak boleh berdiri sendiri, maka penggunaan klitik seperti dalam ayat-ayat berikut diangap tidak gramatis:
a. Ku petik bintang-bintang.

b. Lupakanlah kenangan pahit mu itu.

c. Usah kau hampakan harapan mereka.

d. Mu hendak ke mana?

e. Kau hendak ke mana?

f. Buku ini milik nya.


Kudatang, Kulihat, Kutawan
Mereka telah datang (dengan pelbagai harapan),
Mereka telah melihat (pelbagai peluang yang ada)
tetapi:
Apakah yang telah ditawan oleh mereka?

Catatan;
Tahniah kuucapkan kepada Akmal Ikhwan follower yang pertama blog BYB2 ini – dengan pesanan: kirimkan salamku kepada Pengetua SASER. Terima kasih juga kepada Hanz yang telah menghantar soalan-soalan melalui e-mel. Soalan-soalanmu akan kujawab mengikut keutamaannya.

Tuesday, July 21, 2009

Mendokong buah dukung

Buah-buahan tempatan antaranya rambutan, manggis, dan durian kini sedang menguasai pasaran. Tidak ketinggalan juga buah langsat dan cempedak. Gerai buah-buahan tempatan segera muncul di tepi jalan. Satu lagi buah tempatan yang banyak dijual sekarang ialah buah dokong.

Kata 'dokong' dan 'dukung' hampir sama bunyinya. Jika tajuk di atas disebut mengikut ejaannya (fonetik) tajuk di atas akan membawa pengertian yang salah.

dokong

Dokong ialah sejenis tumbuhan yang buahnya seperti langsat tetapi kulitnya lebih tebal. Nama saintifik bagi dokong ialah lansium domesticu.

dukung


Dukung pula bermaksud kain penggendong atau pengambin (anak dll). Daripada kata dukung terbentuk kata terbitan; mendukung yang bermaksud 1. membawa kanak-kanak kecil sama ada ia bercelapak pada pinggang (atau di belakang) atau dengan menyokong punggung kanak-kanak itu dengan sebelah tangan dengan sebelah tangan lagi diletakkan di bawah ketiaknya, 2. menggendong, 3. memikul atau menyokong dan berusaha dsb untuk menjayakan (kiasan) 4. membantu bersama-sama, menyokong, 5. mengemukakan atau menyampaikan (maksud dan sebagainya)

Dalam penggunaan sehari-hari, kita sering mendengar penutur mengungkapkan perkataan yang berkaitan dengan 'dukung' dengan sebutan 'dokong' sebagai contoh;
a … mendokong cita-cita...
b … mendokong biawak hidup...
c … didokong oleh faktor-faktor luaran...
d … dengan dokongan daripada ibu bapa...
e … pendokong fahaman absurdisme...
f … berdokong pada ibunya...
g … selamat dalam dokongannya...

Di sebaliknya pula, tidak sedikit bilangan penutur yang mengungkapkan kata 'dokong' dengan sebutan 'dukung' sebagai contoh;
h … membeli buah dukung...
i … memetik buah dukung...

Kata 'dokong' dalam ayat-ayat (a-g) di atas sepatutnya disebut sebagai 'dukung' manakala kata 'dukung' dalam ayat (h-i) sepatutnya disebut sebagai 'dokong' Oleh itu, sebutan dan ejaan yang betul bagi ungkapan di atas ialah
a … mendukung cita-cita...
b … mendukung biawak hidup...
c … didukung oleh faktor-faktor luaran...
d … dengan dukungan daripada ibu bapa...
e … pendukung fahaman absurdisme...
f … berdukung pada ibunya...
g … selamat dalam dukungannya...
h … membeli buah dokong...
i … memetik buah dokong...

Berdasarkan huraian yang dikemukakan jelaslah bahawa sebutan dan ejaan yang betul bagi tajuk artikel ini sepatutnya ialah 'mendukung buah dokong'. Sememangnya ada orang yang terpaksa mendukung buah dokong yang telah dipetik sama ada menggunakan raga atau karung, justeru pokok dokong itu terletak di atas bukit yang tidak mungkin sebarang kenderaan boleh sampai di atas bukit itu.
Catatan:
1. Tahniah kepada Farhan Zafira kerana mengeja buah dokong dengan betul, dan kerana dapat mendukung buah dokong yang dipetik dari pokok dokong yang dipanjat.
2. Memo untuk Nur Afiqah dan rakan-rakan, pastikan tugas yang didukung dapat dilaksanakan selepas habis ujian Julai.

Memberi dan Memberikan Pemberian

Orang berbudi kita berbahasa,
orang memberi kita merasa.

Salah satu atur cara yang lazim pada majlis perpisahan ialah penyampaian cenderamata, (ada yang menyebutnya sebagai cenderahati – isu ini akan dibincangkan pada satu masa nanti). Tidak kira apakah cenderamata yang diberikan atau berapa nilai cenderamata itu, yang penting ialah keikhlasan.

Begitulah pengisian atur cara majlis meraikan kenaikan pangkat dan perpisahan tiga orang teman seperjuangan (yang telah bersama-sama memberikan dedekasi sepenuhnya kepada kejayaan dan kecemerlangan alma mater V3 'kudatang, kulihat, kutawan') Tahniah!

Walau bagaimanapun, artikel kali tidak akan membincangkan perjalanan majlis tersebut, tetapi persoalan tatabahasa yang sering ditanyakan oleh pelajar iaitu penggunaan kata memberi atau memberikan; sama ada memberi hadiah atau memberikan hadiah, memberi cenderamata atau memberikan cenderamata. Begitu juga dengan frasa; memberi nasihat atau memberikan nasihat.

Kita lazim mendengar atau membaca ayat-ayat yang menggunaakan kata memberi dan memberikan yang tidak tepat penggunaannya, namun seperti biasa kita selalunya bersikap tidak ambil kisah, mungkin kerana kita tidak tahu pasti sama ada ayat tersebut betul atau salah, atau kita sudah biasa menganggapnya betul (walaupun ayat itu salah).

Terdapat tiga persamaan antara memberi dan memberikan. Yang pertama, dari segi binaannya, kedua-dua perkataan iaitu memberi dan memberikan ialah kata terbitan yang berasal daripada kata dasar beri yang menerima awalan mem-... dan apitan mem-...-kan. Yang kedua, dari segi golongannya pula, kedua-duanya ialah kata kerja transitif yang mesti diikuti oleh objek yang terdiri daripada frasa nama. Yang akhir, iaitu yang ketiga, dari segi objek yang mengikutinya, kedua-duanya boleh diikuti dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi.

Masalah yang timbul ialah yang melibatkan penggunaan kata memberi dan memberikan yang diikuti oleh dua objek. Ayat-ayat berikut sekali imbas tiada kesalahan tetapi sebenarnya salah:
a. Ketua pengawas memberi cenderamata kepada guru itu.
b. Pengarah memberi sijil penghargaan kepada pegawai syarikat itu.
c. Kakak memberikan saya buku itu.
d. Pengetua memberikan kami pujian.

Dalam ayat-ayat di atas, perkataan yang berwarna hijau iaitu perkataan yang hadir selepas kata kerja ialah objek tepat, manakala perkataan yang bercetak tebal ialah objek sipi iaitu objek yang hadir selepas objek tepat.

Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 170 membezakan maksud memberi dan memberikan. Memberi bermaksud; menyampaikan (sesuatu) kepada seseorang, manakala memberikan pula bermaksud menyerahkan sesuatu kepada.

Berdasarkan perbezaan maksud tersebut, untuk memudahkan pelajar memahami penggunaan memberi dan memberikan, dikemukakan empat kaedah yang dapat membezakannya :

1. Memberi dikuti oleh objek yang bernyawa (kata nama atau kata ganti nama diri). Ayat-ayat (a-d) di atas boleh menggunakan memberi dengan diikuti objek bernyawa sebagai objek tepat, dikuti objek tidak bernyawa sebagai objek sipi. Sebagi contoh:
a i. Ketua pengawas memberi guru itu cenderamata.
b i. Pengarah memberi pegawai syarikat itu sijil penghargaan.
c i. Kakak memberi saya buku itu.
d i. Pengetua memberi kami pujian.

2. Memberikan diikuti objek yang tidak bernyawa. Ayat-ayat (a-d) boleh menggunakan memberikan dengan diikuti objek tidak bernyawa sebagai objek tepat, diikuti kata sendi nama kepada atau untuk dan kata nama atau kata ganti nama diri sebagai objek sipi. Sebagai contoh:
a ii. Ketua pengawas memberikan cenderamata kepada guru itu.
b ii. Pengarah memberikan sijil penghargaan kepada pegawai syarikat itu.
c ii. Kakak memberika buku itu kepada saya.
d ii. Pengetua memberikan pujian kepada kami.

3. Huraian 1 dan 2 di atas, dapat dipindahkan kepada binaan yang berikut:
… memberi + [ siapa ] + [apa yang diberi]
…. memberikan +[apa yang diberi] + kepada +[siapa]

4. Imbuhan mem-... dalam memberi dan memberikan boleh ditukar dengan imbuhan di-... dan di-...-kan menjadi diberi dan diberikan dan digunakan dalam ayat pasif. Sebagaimana yang telah dibincangkan, memberi dan memberikan ialah kata kerja transitif yang mesti diikuti terus oleh objek. Hanya kata kerja transitif sahaja yang boleh dipasifkan, manakala kata kerja tak transitif tidak boleh dipasifkan.

Dalam pembentukan ayat pasif, hanya objek tepat yang terdiri daripada objek bernyawa boleh berubah kedudukan dan fungsinya iaitu menjadi subjek yang baharu dalam ayat pasif. Contohnya:
a iii. Guru itu diberi cenderamata oleh ketua pengawas .
b iii. Pegawai syarikat itu diberi sijil penghargaan oleh pengarah.
c iii. Saya diberi buku itu oleh kakak.
d iii. Kami diberi pujian oleh pengetua.

Sebaliknya, ayat-ayat yang mengedepankan objek tepat yang terdiri daripada objek yang tidak bernyawa menjadi subjek yang baharu dalam ayat pasif dianggap tidak gramatis. Sebagai contoh:
a iv. Cenderamata diberikan oleh ketua pengawas kepada guru itu
b iv. Sijil penghargaan diberikan oleh pengarah kepada pegawai syarikat itu.
c iv. Buku itu diberikan oleh kakak kepada saya
d iv. Pujian diberikan oleh pengetua kepada kami.

Catatan
Diharapkan huraian yang dikemukakan di atas dapat memberikan panduan kepada pembaca untuk menentukan penggunaan memberi dan memberikan dengan betul.

Sunday, July 12, 2009

Penghawa Dingin atau Pendingin Hawa

Dalam cuaca yang panas sekarang, ramai yang cepat panas dan marah-marah. Sebab itu timbul ungkapan 'panas baran, panas hati, panas telinga' dan sebagainya. Orang ramai mencari pelbagai cara untuk mengelakkan kepanasan. Ada yang berkipas, ada yang berpayung, dan ramai yang mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti di luar. Walau bagaimanapun, dalam kehidupan yang dikelilingi dengan pelbagai ciptaan teknologi, kaedah yang paling mudah adalah dengan memetik suis "air conditioner." Kita tidak mempertikaikan, udara daripada "air conditioner" ini sejuk, tetapi kita sering mempertikaikan yang manakah frasa yang betul, "penghawa dingin" atau "pendingin hawa?"

Ramai yang beranggapan bahawa frasa yang betul ialah "penghawa dingin." Jika frasa ini dianggap betul, bererti 'dingin' perlu diberi 'hawa'. Kata 'dingin' atau sejuk ialah kata adjektif yang sepatutnya dikaitkan dengan sesuatu nama, contohnya; air yang dingin, sambutan yang dingin, atau hawa yang dingin. Dingin sebagai kata adjektif tidak memerlukan kata adjektif lagi. Mana mungkin wujud frasa 'dingin yang sejuk' atau 'dingin yang nyaman,' sebaliknya, hawa ada yang dingin dan ada yang panas.

Cuaca yang panas menyebabkan hawa menjadi panas. Apabila hawa menjadi panas kita berasa tidak selesa. Hawa yang panas perlu didinginkan. Untuk mendinginkan hawa kita memerlukan pendingin hawa. Oleh sebab itu, alat tersebut tidak sepatutnya disebut 'penghawa dingin' sebaliknya lebih tepat jika disebut 'pendingin hawa' kerana alat itulah menyebabkan udara menjadi dingin.

Walau bagaimanapun, dalam perkembangan mutakhir, frasa pendingin hawa boleh digantikan dengan frasa baharu yang dapat memberikan maksud yang lebih tepat dengan fungsi dan peranan alat tersebut iaitu 'penyaman udara'

Catatan:
Untuk mengelakkan kita daripada membuang masa bertelagah membincangkan frasa yang betul antara 'penghawa dingin' dengan 'pendingin hawa' sama seperti kita bertegang urat membincangkan 'pisang goreng' atau 'goreng pisang,' 'kari ayam' atau 'ayam kari' kita kenalah memahami Hukum D-M. Apa itu 'Hukum D-M?' Tunggu posting yang akan datang...




Hukum P-T-K-S

Kuala Pilah, Tampin, Kuala Klawang, dan Seremban ialah antara bandar utama di Negeri Sembilan. Sebutan yang lebih biasa dalam kalangan penduduk setempat untuk Kuala Pilah ialah Pilah, manakala Kuala Klawang disebut sebagai Klawang. Setiap bandar mempunyai keunikannya dan daya tarikan pelancongan yang tersendiri. Walau bagaimanapun, rencana kali ini tidak akan menghuraikan keistimewaan keempat-empat bandar ini, justeru ruang yang terbatas. Namun demikian, penulis ingin memetik huruf-huruf pertama bagi nama Pilah, Tampin, Klawang dan Seremban, iaitu P.T.K.S. dalam konteks ejaan rumi bahasa Melayu.

Dalam sistem ejaan rumi bahasa Melayu terdapat satu peraturan mengeja perkataan yang dinamakan sebagi Hukum p-t-k-s. Bagi memudahkan kita mengingat peraturannya, penulis lebih gemar menamakannya sebagai Hukum Pilah-Tampin-Klawang-Seremban, justeru cara ini lebih mudah dan senang difahami.

Menurut Hukum p-t-k-s. atau Hukum Pilah-Tampin-Klawang-Seremban ini, apabila perkataan yang bermula dengan huruf p, t, k dan s dicantumkan dengan imbuhan meN-…, (me..., men..., mem..., meng...), maka huruf p, t, k dan s akan digugurkan, Contohnya:

pakai > mem+pakai = memakai
pukul > mem+pukul = memukul
tipu > men+tipu = menipu
tolak > men+tolak = menolak
kira > meng+kira = mengira
kukus > meng+kukus = mengukus
sikat > men+sikat = menyikat
siku > men+siku = menyiku

Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan perkataan yang bermula dengan huruf p,t,k,s ini dikekalkan ejaannya dan dikecualikan daripada peraturan Hukum p-t-k-s-ini terutamanya kata-kata pinjaman daripada bahasa Arab dan bahasa Inggeris, sebagai contoh:
terjemah >menterjemah (bukan menerjemah)
takrif >mentakrif (bukan menakrif)

Berdasarkan peraturan ini, dapatlah kita menentukan ejaan yang betul sama ada mengetengahkan atau mengketengahkan, mengetepikan atau mengketepikan, mengebumikan atau mengkebumikan.

Catatan:
Hukum p-t-k-s ini boleh diubah suai mengikut keadaan setempat supaya mudah kita mengingatnya. Sebagai contoh, jika pembaca tinggal di Pahang, p-t-k-s, boleh ditukar sebagai Pekan, Temerloh, Kuantan dan Semambu.

Friday, July 10, 2009

au...ai...oi

Seorang rakan penulis dari Skudai menghubungi penulis meminta penulis menunjukkan arah jalan ke sebuah kolej di Nilai kerana urusan pendaftaran anaknya yang akan mengikuti program A-Level setelah mendapat tawaran JPA untuk melanjutkan pengajian ke India dalam bidang perubatan. Malangnya pada waktu itu penulis berada di Bahau kerana ada tugas menyampaikan ceramah penataran bahasa. Dari plaza tol Alor Gajah, rakan penulis memilih jalan lama dan berhenti sebentar di Petronas Cengkau. Sejurus kemudian rakan penulis dan keluarganya berhenti lagi di Rembau kerana anak kecilnya meragam. Dari situ rakan penulis memilih jalan Siliau dan berhenti sekali lagi di sebuah gerai di Rantau untuk menghilangkan dahaga. Rakan penulis kemudian meneruskan perjalanan melalui Mambau. Dari situ rakan penulis sampai di Seremban dan mengambil jalan Pantai, masuk ke Jiboi dan berhenti untuk solat di masjid Paroi sambil menunggu penulis di situ. Apabila penulis sampai, penulis mengajak rakan penulis sekeluarga untuk berehat dan makan di rumah penulis sebelum pendaftaran anaknya diuruskan. Sesampai di rumah, rakan penulis menyerahkan sebuah beg plastik besar mengandungi petai, rambai dan buah tampoi. Selepas makan dan berehat barulah keluarga penulis dan keluarga rakan penulis menuju ke kolej tersebut.

Dalam cerita di atas terdapat nama-nama tempat yang berakhir dengan au, ai dan oi. Dalam kajian bahasa, ketiga-tiga bunyi ini dinamakan sebagai diftong iaitu gabungan dua bunyi vokal yang bersifat satu suku kata dan dilafazkan dengan satu puncak kelantangan kerana berlakunya geluncuran dari vokal yang mendahului kepada vokal yang mengikutinya.

Diftong berbeza dengan vokal rangkap iaitu urutan dua bunyi vokal yang berfungi sebagai dua sukata kerana mempunyai dua puncak kelantangan. Sebaai contoh, bunyi au pada perkataan Rembau ialah diftong kerana berfungsi sebagai satu suku kata tetapi au pada perkatan jauh bukan diftong keana a dan u menjadi suku kata yang terpisah iaitu; ja uh, Begitu juga antara gerai dengan main. Satu daripadanya diftong dan satu lagi bukan diftong.

Cara menghasilkan ketiga-tiga bunyi diftong dapat ditunjukkan melalui carta kedudukan bahagian hadapan, tengah dan belakang lidah dalam rongga mulut seperti berikut:


Banyak lagi perkataan yang mengandungi bunyi diftong seperti balai, rampai, abai, lampai, lampau, pantau, kacau, amboi, baloi, sekoi, sepoi dan sebagainya.

Catatan:
Cerita di atas sebenarnya rekaan semata-mata, kalau ada persamaan mungkin hanya secara kebetulan, cuma penulis ingin mengaitkannya dengan fokus bicara bahasa kali ini iaitu bunyi diftong. Sememangnya banyak nama tempat di Negeri Sembilan yang mengandungi bunyi diftong seperti dalam cerita di atas.

Wednesday, July 8, 2009

TANPA PRASANGKA ... (Without Prejudice)

Keputusan telah dibuat. Kenyataan telah diumumkan.
Sesuai dengan tajuk yang dipilih, ruangan ini tidak akan membincangkan implikasi keputusan yang diambil oleh kerajaan berkaitan pelaksanaan PPSMI. Fokus perbincangan kali ini ialah keterangan tajuk utama yang terdapat pada petikan akhbar yang dipaparkan iaitu "Tingkat pengajaran bahasa Melayu tanpa ketepi pengajaran bahasa Inggeris."

Ada tiga isu tatabahasa menarik yang hendak dibincangkan. Yang pertama: 'Tingkat pengajaran bahasa Melayu.' Tingkat merujuk kepada tahap atau peringkat. Sekali imbas, frasa ini merupakan subjek yang perlu diikuti dengan predikat untuk melengkapkan maksudnya. Frasa tersebut akan menjadi lebih bermakna sekiranya diikuti unsur predikat seperti "... akan dimantapkan." Tanpa unsur predikat ungkapan tersebut tidak akan lengkap.

Isu yang kedua ialah '.. tanpa ketepi pengajaran bahasa Inggeris." Kata 'ketepi' dalam ungkapan ini ialah frasa sendi nama, sama seperti di sana, ke utara, di hadapan, dan sebagainya. Dari segi penulisan, sebagai frasa sendi nama, kata sendi 'ke' perlu dijarakkan dengan kata arah 'tepi'

Kedua-dua perkataan ini akan lebih tepat penggunaan dan maskudnya sekiranya ditambah dengan akhiran ...kan. Sekiranya hal ini dilakukan, maka keterangan tajuk utama itu akan menjadi "Tingkatkan pengajaran bahasa Melayu tanpa ketepikan pengajaran bahasa Inggeris." Ungkapan ini lebih tepat dari segi binaannya dan dari segi maksudnya iaitu seruan supaya pengajaran bahasa Melayu ditingkatkan tanpa meminggirkan bahasa Inggeris.

Isu yang ketiga ialah mengapakah b' pada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ditulis dengan huruf kecil, bukan huruf besar sedangkan kedua-duanya merujuk kepada mata pelajaran yang diajarkan di sekolah. Oleh sebab Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran sama seperti mata pelajaran Matematik, Pendidikan Islam, dan lain-lain, sewajarnya 'b' pada kedua-dua perkataan dieja dengan huruf besar kerana kedua-duanya ialah kata nama khas. Sekiranya perkataan 'bahasa' merujuk kepada sesuatu yang umum, bukan kata nama khas pada situasi seperti itu maka 'b' huruf kecil digunakan.

Berdasarkan huraian yang telah dikemukakan, keterangan tajuk itu lebih tepat sekiranya ditulis : "Tingkatkan pengajaran Bahasa Melayu tanpa ketepikan pengajaran Bahasa Inggeris."

Betulkan yang biasa!