Sunday, October 4, 2009

Ayat komplemen

AYAT KOMPLEMEN
Dalam penggunaan bahasa sehari-hari, kita mempunyai pilihan untuk menggunakan sama ada ayat tunggal ataupun ayat majmuk. Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi hanya satu klausa , iaitu satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat.
Ayat majmuk pula ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat yang baharu. Contohnya:
a). Aziz sedang membaca buku. (ayat tunggal)
b). Azizan sedang mengemas bilik. (ayat tunggal)
c). Aziz sedang membaca buku sementara Azizan sedang mengemas bilik. (ayat majmuk)

Ayat majmuk dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
Ayat majmuk gabungan
Ayat majmuk pancangan
Ayat majmuk campuran

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, dan sebagainya.

Ayat majmuk pancangan ialah binaan ayat yang terdiri daripada satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu. Terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu berdasarkan cara pembentukan dan jenis ayat yang dipancangkan, iaitu ayat relatif, ayat komplemen dan ayat keterangan.

Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk, atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk.

Ayat komplemen
Sebagaimana yang telah dinyatakan, ayat majmuk pancangan terdiri daripada tiga jenis iaitu ayat relatif, ayat komplemen dan ayat keterangan. Ayat komplemen ialah bahagian ayat dalam binaan ayat majmuk yang melengkapkan ayat tersebut. Ayat komplemen ditandai oleh penggunaan kata hubung komplemen bahawa dan untuk.Contohnya:
a). Ketua Pengarah Kesihatan mengumumkan bahawa kematian akibat H1N1 tidak berubah.
b). Beliau menjelaskan bahawa cuti semua pegawai perubatan dibekukan.
c). Amat tidak wajar untuk mereka menyalahkan orang lain.

Bahagian yang bercetak miring dalam ayat di atas ialah ayat komplemen, iaitu yang berfungsi sebagai objek tepat kepada kata kerja transitif seperti mengumumkan dan menjelaskan, selain menjadi pelengkap kepada ayat induk atau ayat utama. Terdapat sebilangan kata kerja transitif lain yang perlu diikuti oleh ayat komplemen yang berfungsi sebagai objek supaya maksud ayat tersebut lengkap, antaranya; menafikan, menyatakan, menyebut, menegaskan, mengharapkan, menyedari, mengakui, melaporkan, mengesahkan.

Selain menjadi objek, ayat komplemen juga menjadi pelengkap kepada frasa kerja tak transitif yang lazimnya menggunakan imbuhan ber-... sebagaimana contoh berikut;
a). Mereka berpendapat bahawa masalah itu telah selesai.
b). Kami beranggapan bahawa penyelesaian itu hanya sementara.

Bahagian yang bercetak miring dalam ayat di atas ialah ayat komplemen, iaitu yang berfungsi sebagai pelengkap kepada frasa kerja tak transitif seperti berpendapat dan beranggapan. Terdapat sebilangan kata kerja tak transitif lain yang perlu diikuti oleh ayat komplemen yang berfungsi sebagai pelengkap supaya maksud ayat tersebut lengkap, antaranya; bermaksud, berpendirian, berpandangan, berfahaman, bersetuju, berharap.

Sebagai kesimpulannya, dapat dinyatakan bahawa ayat komplemen berfungsi sebagai objek dan pelengkap, berdasarkan kata kerja atau frasa kerja dalam ayat induk atau ayat utama.

No comments:

Post a Comment