Wednesday, October 7, 2009

Di sekitar penggunaan kata bilangan

Kata bilangan ialah perkataan yang digunakan untuk menyatakan jumlah sesuatu. Kata bilangan digunakan di hadapan frasa nama. Terdapat beberapa jenis kata bilangan, iaitu:

1. Kata bilangan tentu
Contoh: dua, dua puluh, satu ribu, satu juta

2. Kata bilangan tak tentu
Contoh: segala, semua, para, seluruh, sedikit, beberapa, banyak

3. Kata bilangan pisahan
Contoh: setiap, tiap-tiap, masing-masing

4. Kata bilangan pecahan
Contoh : suku, separuh, setengah, sepertiga

5. Kata bilangan himpunan
Contoh: beratus-ratus, berhari-hari, berminggu-minggu, berguni-guni

6. Kata bilangan tingkat (ordinal)
Contoh : pertama, ketiga, kesepuluh

Penggunaan kata bilangan
1. Kata bilangan tentu dan kata bilangan himpunan mesti diikuti penjodoh bilangan. Contoh :
Dia memiliki dua kereta (X)
Dia memiliki dua buah kereta (/)

2. Kata bilangan tak tentu tidak perlu diikuti penjodoh bilangan (kecuali kata beberapa). Contoh: Semua orang penduduk (X)
Semua penduduk (/)
Beberapa penduduk (X)
Beberapa orang penduduk (/)

3. Kata nama selepas kata bilangan tak tentu yang membawa maksud jamak tidak perlu digandakan. Contoh:
Segala persiapan-persiapan (X)
Segala persiapan (/)
Semua peserta-peserta
Semua peserta (/)

4. Kata bilangan pisahan ‘setiap’ tidak perlu dikuti penjodoh bilangan.
Penggunaan tiap hendaklah digandakan menjadi tiap-tiap atau setiap. Contoh:
Harga setiap buah kereta adalah sama (X)
Harga setiap kereta adalah sama (/)

5. Kata bilangan pecahan ‘setengah’ (yang bermaksud separuh) berbeza daripada ‘setengah setengah’ (yang bermaksud sebilangan daripada sesuatu). Contoh:
Setengah orang berpendapat rancangan itu wajar dibatalkan. (X)
Cadangan itu tidak disokong oleh setengah pihak. (X)

Setengah tidak boleh digunakan untuk manusia (setengah badan manusia, setengah lagi bukan manusia)

6. Kata bilangan ramai ialah sinonim bagi banyak. Ramai hanya digunakan untuk manusia manakala banyak boleh digunakan untuk manusia dan benda lain.

7. Berbagai bukan kata bilangan. Berbagai bermaksud tiada bandingan. Bentuk yang
betul ialah ‘berbagai-bagai’ atau ‘pelbagai’ Contoh:
Berbagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu. (X)
Berbagai-bagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu. (/)
atau
Pelbagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu. (/)

8. Kata bilangan yang menunjukkan maksud jamak seperti para dan sekalian tidak boleh digunakan serentak. Contoh:

para hadirin sekalian (X)
hadirin sekalian (/)
semua tetamu sekalian (X)
tetamu sekalian (/)


Beraneka bunga menghiasi taman di halaman
Cerna minda
Kira bilangan kesalahan penggunaan kata bilangan dalam petikan di bawah.

Kedua ibu bapanya kini berada jauh beribu batu. Mereka terpaksa meninggalkan semua anak-anak mereka untuk menjalankan berbagai tugas di luar negara. Tiap hari mereka tidak lupa untuk menghubungi semua anak-anak mereka. Sebagai anak yang pertama, Azlan seperti kebanyakan anak-anak sulung yang lain akan mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-adiknya.

Bilangan kesalahan :

8 comments:

  1. -Kedua ibu bapanya
    -semua anak-anak mereka
    -menjalankan berbagai tugas
    -Tiap hari mereka
    -semua anak-anak mereka
    -kebanyakan anak-anak sulung

    betul tak? :)

    ReplyDelete
  2. terdapat 7 kesalahan iaitu yang ketujuh ialah beribu sepatutnya ialah beribu-ribu

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum warahmatullah, mohon kebenaran untuk menggunakan isi kandungan.

    ReplyDelete
  4. Penggunaan bahasa sepatutnya:
    1. Kedua-dua ibu bapanya
    2. beribu-ribu batu
    3. semua anak
    4. berbagai-bagai tugas
    5. Tiap-tiap hari
    6. semua anak mereka
    7. kebanyakan anak sulung
    XD macam ni ke?

    ReplyDelete
  5. Para AJK yang bertugas
    1.....
    2.....
    Sesuaikah penggunaan ayat di atas dalam pemberitahuan dalam surat siaran

    ReplyDelete
  6. Pegawai polis mencatat segala atau seluruh keterangan yang diberikan

    ReplyDelete
  7. Segala atau seluruh yang tepat.....

    ReplyDelete