Saturday, July 25, 2009

Kuharap kaugunakan masamu (untuk mengulang kaji)

Dalam posting yang pertama, di bawah tajuk 'Salam Perkenalan,' penulis telah memperkenalkan tajuk kecil 'Kulihat, kudengar, kusebut' yang dipadankan daripada motto 'Kudatang, kulihat, kutawan' (I came, I saw, I conquered). Huraian tentang maksud 'Kulihat, kudengar, kusebut' boleh ditelusuri pada rencana berkenaan.

Ramai yang bertanya, antaranya Nabilah, Suhaila dan Suhaili; mengapa 'ku' mesti dirapatkan dengan perkataan yang mengikutnya? Sebagai penjelasan kepada pertanyaan mereka dan makluman kepada semua pembaca, ku ialah kata ganti singkat iaitu singkatan bagi 'aku' sama seperti 'mu' (kamu), dan kau (engkau). Satu lagi kata ganti nama diri singkat ialah 'nya'. Pada pendapat penulis kemungkinannya -nya dikaitkan dengan konsep 'dia punya' sebagai contoh; 'baju kepunyaan dia' menjadi 'bajunya'

Keempat-empat kata ganti singkat ini iaitu ku, mu, kau dan nya dinamakan juga sebagai klitik. Ada dua cara mengeja klitik / kata ganti singkat:

1. ku dan kau dicantumkan dengan perkataan yang mengikutinya.
Contoh:
kudatang
kulihat
kutawan
kauambil
kaucuba
kaualami

2. ku, mu dan nya dicantumkan dengan perkataan sebelumnya
Contoh:
harapanku
niatku
untukku
jiwamu
hasratmu
perasaanmu
hatinya
hidupnya
kesukaannya

Berdasarkan dua cara pengejaan sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, dapat disimpulkan bahawa ku, mu, kau, dan nya tidak boleh berdiri sendiri dan mesti ditulis serangkai dengan perkataan yang mendahului atau mengikutinya. Oleh sebab ku, mu, kau dan nya tidak boleh berdiri sendiri, maka penggunaan klitik seperti dalam ayat-ayat berikut diangap tidak gramatis:
a. Ku petik bintang-bintang.

b. Lupakanlah kenangan pahit mu itu.

c. Usah kau hampakan harapan mereka.

d. Mu hendak ke mana?

e. Kau hendak ke mana?

f. Buku ini milik nya.


Kudatang, Kulihat, Kutawan
Mereka telah datang (dengan pelbagai harapan),
Mereka telah melihat (pelbagai peluang yang ada)
tetapi:
Apakah yang telah ditawan oleh mereka?

Catatan;
Tahniah kuucapkan kepada Akmal Ikhwan follower yang pertama blog BYB2 ini – dengan pesanan: kirimkan salamku kepada Pengetua SASER. Terima kasih juga kepada Hanz yang telah menghantar soalan-soalan melalui e-mel. Soalan-soalanmu akan kujawab mengikut keutamaannya.

4 comments:

  1. Cikgu, boleh saya tanyer macam maner dan bagaimana nak gunekan ayat euforia?

    ReplyDelete
  2. Contoh ayat:
    Alunan muzik 'heavy metal' yang berkumandang menyebabkan remaja yang menyaksikan konsert itu tenggelam dalam euforia. (keriangan yang berlebihan yang disebabkan oleh pengaruh dadah atau penyakit mania)

    ReplyDelete
  3. salam cikgu...
    euforia boleh x digunekan utk menerangkan keadaan org yg tgh hanyut dlm angan2 yg indah? atau seseorang tu tgh ceritakn sesuatu yg bgnya sgt indah sambil menunjukkan mimik muka skali..

    ReplyDelete
  4. Salam kembali hanis,
    Boleh gunakan euforia dalam kedua-dua konteks yang dikemukakan. Yang peting, individu tersebut berasa terlalu gembira yang berlebih-lebihan.

    ReplyDelete